PASRelief tidak batasi bantuan kerana halangan geografi

Prihatin menyantuni kerana turut rasai kesakitan orang Mukmin

- Advertisement -

PATTANI, Thailand: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menzahirkan keprihatinan dengan menyantuni mangsa-mangsa kejadian banjir di Selatan Thailand adalah kerana hubungan persaudaraan Muslim.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena memetik hadis Rasulullah SAW mengenai sifat orang beriman yang diumpamakan seperti satu jasad.

- Advertisement -

“Bila satu bahagian sakit, seluruh jasad yang lain turut merasainya. Begitulah bila di wilayah di sini ditimpa musibah yang kita saksikan bekasnya semalam, walaupun banjirnya sudah tiada.

“Takat air kita tengok itu luar biasa yang dikatakan sudah lebih 56 tahun tidak pernah ada banjir seperti itu. Banyaklah kemusnahan, banyaklah kerosakan, banyaklah kesakitan dan sebagai tanda keprihatinan kita datang membantu.

“PASRelief dan sukarelawannya ambil tanggungjawab menyantuni lahirkan simpati dengan apa yang berlaku kerana bertaut rasa kasih sayang antara kita,” ujar beliau menyampaikan tausiyah selepas solat Subuh berjemaah.

Tegasnya, hubungan itu tidak terpisah melainkan hanya sempadan antarabangsa dan perasaan sama jugalah kepada saudara di Palestin dan Yaman yang ketika ini diserang oleh Israel dan Amerika.

Bahkan katanya, kepada saudara Muslim di seluruh dunia yang apabila ditimpa musibah, kesakitan maka yang lain merasainya di mana tautan ukhuwah ini adalah kekuatan ummah dibawa daripada Nabi Muhammad SAW.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah mengetuai Misi Bantuan Banjir Selatan Thailand PASRelief ini dengan turut disertai Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Turut serta adalah Ahli Jawatankuasa PASRelief, Senator Ustaz Musaoddak Ahmad dan Dr Rosni Adam serta Kordinator PASRelief Negeri, Ustaz Mohd Rosli Azmi (Kedah), Ustaz Roslan Md Esa (Pahang) dan Ustaz Mohd Tarmizi Mohd Yahaya (Sabah).

Misi dua hari ini menyampaikan sumbangan di tiga wilayah iaitu Yala, Patani dan Narathiwat yang terkesan akibat banjir besar melanda bermula 22 Disember lalu selama beberapa hari. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -