Penduduk sokong kompaun RM500 buang sampah merata

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelbagai pihak menyambut baik langkah kerajaan negeri mengenakan kompaun sehingga RM500 terhadap mana-mana individu yang didapati membuang sampah di merata tempat.

- Advertisement -

Kata mereka langkah tersebut bagi memastikan kempen Kelantanku Bersih yang dilaksanakan kerajaan negeri menjadi kenyataan.

Seorang penduduk dari Kubang Kerian Ismail Arifin, 38 berkata, langkah tegas perlu dikuatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan memandangkan masih ada yang gagal menjaga kebersihan.

Katanya, kempen Kelantanku Bersih yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak penggal lepas perlu disambut baik rakyat Kelantan.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan dan PBT bagi memastikan Kelantan bersih, namun masih ada segelintir pihak yang ingkar,” katanya di sini.

Zakaria Ismail, 64, dari Kok Lanas pula berkata, individu yang degil wajar dikenakan kompaun, lebih-lebih lagi tahun ini kerajaan negeri menganjur Tahun Melawat Kelantan 2024.

Semalam Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, individu yang ditangkap anggota penguat kuasa PBT kerana kesalahan membuang sampah di merata tempat akan dikenakan kompaun bermula tahun ini.

Menurutnya tindakan itu merupakan kaedah terbaik bagi memberi pengajaran dan mendidik individu supaya sama-sama menjaga kebersihan.

Menurut beliau, peraturan tersebut sebenarnya sudah termaktub dalam undang-undang kecil, namun ia belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Nilai kompaun maksimum itu melibatkan kawasan dikategorikan sebagai Zon Bersih, Indah dan Ceria,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Taman Tema Air, Krai Water Park di Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -