Ladang Rakyat Kelantan bantu rakyat miskin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan yang diwujudkan kerajaan negeri pada 26 Januari 2006 terus berkembang sehingga sekarang.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dilancar Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, perbadanan itu ditubuh melalui Enakmen No.2 Tahun 2006 setelah diluluskan Dewan Undangan Negeri.

“Perbadanan berkenaan turut memiliki sebuah bangunan tiga tingkat bernilai lebih RM1 juta di Zon Komersial Wakaf Che Yeh dengan kakitangan seramai 23 orang,” katanya pada catatan di laman sosialnya semalam.

Sebelum itu beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Perbadanan itu yang dilancar pada Julai 2006 melaksanakan program Pembangunan Peserta Ladang Rakyat dengan memberi dividen kepada peserta dalam kalangan penduduk miskin.

Seramai 100 peserta dipilih bagi setiap Dun di mana mereka dibayar dividen sebanyak RM200 sebulan. Sehingga November 2022 kerajaan negeri membayar dividen sebanyak RM168.9 juta melibatkan 4,706 peserta.

Sumbangan tersebut diperolehi daripada hasil pembangunan tanah-tanah Ladang Rakyat seluas 90,000 ekar di seluruh Kelantan.
Pembayaran Dividen kepada setiap peserta dikreditkan bayaran ke dalam akaun mereka. – HARAKAHDAILY 15/1/2024

- Advertisement -