Keluarga kemalangan maut dapat perhatian MB

- Advertisement -

MERBOK: Kisah lima beradik yatim piatu yang tular di media semalam mendapat perhatian kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menteri Besar diwakili setiausaha politiknya, Zulkifli Yahaya menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada lima beradik malang berkenaan. Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar, Norhafizah Fadzil. (Foto atas)

“Saya hadir mewakili Menteri Besar yang sekarang berada di luar Kedah untuk ziarah lima beradik ini dan memberi sedikit sumbangan,” jelas beliau.

Lima beradik berkenaan yang berumur antara tujuh hingga 23 tahun menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila kedua ibu bapanya maut satu kemalangan jalanraya berhampiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuala Muda, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Ayah dan ibu mereka, Mohd Norzianal, 46, dan Suhana Othman, 43, meninggal di tempat kejadian selepas motisikal yang dinaiki mereka melanggar tiang elektrik.

Kedua-dua mangsa kemalangan itu dikatakan keluar ke kedai makan berhampiran.

Anak sulung pasangan terbabit, Fatin Hanani, 23, merupakan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) manakala paling bongsu, Adib Leman berumur tujuh tahun.

Buat masa sekarang ke lima beradik berkenaan tinggal bersama neneknya.

Dalam pada itu, Zulkifli mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit dan mengharapkan agar menerima ketentuan Allah itu dengan sabar serta bertawakal kepada Allah. – HARAKAHDAILY 14/1/2024

Lima beradik menjadi yatim piatu tinggal dengan nenek.
- Advertisement -