SERDANG: Ahli-ahli dan pimpinan PAS telah mengunjungi ‘booth’ (gerai) Harakah dengan mengambil kesempatan melanggani HarakahDaily (Hd) Premium yang dipromosikan sempena Liqa’ Fikri PAS Pusat di South City Plaza, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Pemasaran Harakah, Nur Hafizah Ibrahim memaklumkan, dalam masa 1 jam sahaja sudah lebih daripada 100 langganan diterima di mana ia membuktikan media rasmi PAS ini kekal utuh di sebalik cabaran dihadapinya.
Tambah beliau, peningkatan seperti ini adalah satu perkara yang di luar jangkaan lebih-lebih lagi selepas pelbagai kontroversi cuba dipalitkan untuk memberi persepsi negatif kepada Harakah.
Beliau merujuk antaranya penangkapan wartawan Harakah iaitu Suffi Kamari, Ikmal Emir dan Muhammad Zharif dalam berjuang membela nasib penduduk Taman Sungai Sireh yang melibatkan projek jajaran ECRL.
“Ini kerana prinsip kami sebagai media Harakah adalah tetap sama walau apa pun iaitu kongsikan perkara yang benar dan telus,” katanya.
Menurut beliau, perkara sebegini adalah di luar jangkaan kerana ternyata semakin ramai yang memberikan sokongan di mana dizahirkan dengan melanggani HarakahDaily Premium tersebut.
Ini kerana kata beliau, selama ini mereka hanya beranggapan bahawa Harakah hanya berkongsi pandangan politik semata-mata, tetapi sebenarnya turut memperjuangkan isu rakyat pelbagai segmen.
“Sekarang semua boleh lihat kami sudah ada berita dan artikel mengenai krisis ekonomi, isu rakyat dan seumpamanya yang mana perkara sebegini dekat dengan hati rakyat itu sendiri,
“Ini yang membuatkan kami berbeza dengan media-media lain kerana kami bukan sahaja memperjuangkan politik semata-mata tetapi juga amat mementingkan kehidupan rakyat itu sendiri,” ujarnya.
Perkara tersebut juga katanya, telah dibuktikan dengan tiga wartawan itu sendiri yang sanggup berhadapan dengan apa pun keadaan demi memperjuangkan nasib mana-mana masyarakat ditindas.
Hafizah berkongsi tiga pakej Hd Premium yang disediakan iaitu sebulan, 12 bulan dan 6 bulan yang mana harga yang disediakan adalah amat berbaloi dan berpatutan.
“Jadi sesiapa yang ingin mendapatkan berita yang betul-betul lain daripada yang lain boleh subscribe Hd Premium menerusi pautan ini lebih-lebih lagi harga sangat berpatutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2024
