Minyak masak: Hak warga asing sama rakyat Malaysia?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani digesa mewujudkan mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih bersasar, wajar dan adil serta mengutamakan kebajikan rakyat tempatan.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata demikian sebagai mengulas isu minyak masak paket bersubsidi yang tidak dilarang penjualannya kepada warga asing.

- Advertisement -

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali sendiri mengumumkan ketetapan tersebut yang mengejutkan banyak pihak dalam sidang medianya pada 9 Januari baru-baru ini.

PAS juga tegas Khairil, menggesa Kerajaan Madani membentangkan laporan audit kepada Parlimen oleh KPDN yang kini sedang mengaudit penjualan bekalan itu bermula daripada pengilang dan pembungkusan semula.

Katanya, ini bagi mengesan sebarang ketirisan dan penyelewengan terhadap pemberian subsidi sekali gus menangani antara akibat kepada kos sara hidup yang tinggi dialami oleh rakyat tempatan negara ini.

“Situasi ini memberi tekanan kepada rakyat yang mempersoalkan ketiadaan bekalan minyak masak paket bersubsidi di mana sepatutnya disasarkan kepada golongan B40 dan sebahagian golongan M40 kerana mereka terdiri daripada 5.8 juta isi rumah yang layak.

“Pada ketika ini, sebagaimana data yang dikeluarkan oleh pihak KPDN pada suku ke-4 tahun 2023, kuota pengeluaran minyak masak paket bersubsidi adalah sebanyak 60,000 metrik tan untuk sebulan,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, sekali gus adalah mencukupi untuk keperluan rakyat tempatan sama ada untuk kegunaan domestik atau perniagaan penjaja mikro yang ada di dalam negara ini. 

Berdasarkan perangkaan ini menurutnya, keperluan penggunaan domestik di rumah lazimnya hanya sekitar 4.5 kilogram sahaja, manakala keperluan peniaga mikro yang menggunakan purata 400 paket sebulan bagi perniagaan kecil.

“Masalah timbul apabila pembelian minyak masak paket bersubsidi ini juga dijual kepada warga asing sama seperti seperti rakyat Malaysia dengan hanya tetapan pembelian di pasaraya besar sebanyak 3 paket maksimum bagi sebuah keluarga. 

“Walau bagaimanapun, situasi sebenar adalah seorang warga asing boleh membeli 2 paket dan mereka pula tinggal serumah dengan jumlah bilangan yang ramai,” ujarnya menerangkan realiti tersebut.

Hujah beliau lagi, dengan unjuran data jumlah pekerja asing sehingga 30 September 2023 berjumlah lebih 2.7 juta orang, sudah tentu ini memberikan satu tekanan kepada bekalan minyak masak bersubsidi tersebut.

Apatah lagi ujar jurutera muda profesional itu, ditambah dengan isu ketirisan penjualan minyak bersubsidi yang sememangnya turut berada dalam audit pihak kementerian tersebut. 

“Ia lebih diburukkan lagi dengan situasi di mana ada restoran yang membeli secara pukal dan menyorok minyak masak paket ini sehingga ketiadaan bekalan sepertimana yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri,” kesal beliau. – HARAKAHDAILY 12/1/2024

- Advertisement -