Selesai jenayah seksual kanak-kanak ikut kaedah Islam

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu diambil penyelesaian mengikut kaedah Islam.

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad, Islam sememangnya ada penyelesaian kepada masalah manusia.

“Manusia adalah makhluk Allah. Islam agama yang sejahtera ini juga dari Allah SWT,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata, umat Islam yang beriman kepada Allah SWT mestilah sentiasa diingatkan bahawa kehidupan dunia adalah satu tempat dimana apa sahaja yang dilakukan akan dihisab di akhirat nanti.

“Kerja buat mestilah selaras dengan peraturan yang telah dipandu mengikut Al-Quran dan Sunnah.

“Persoalan ini bukannya hanya berkisar kepada ibadah-ibadah yang wajib sehari semalam tetapi kepada seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah pendidikan dan pemeliharaan kanak-kanak yang dibawah jagaan,” katanya.

Selain itu, kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, jiran, guru, masyarakat berperanan untuk peka dengan keadaan sekeliling.

“Urusan masyarakat mesti diurus dengan baik, bukan masing-masing dengan hal masing-masing sahaja.

“Menjaga tepi kain orang ini dalam setengah perkara amatlah penting supaya keselamatan jiran-jiran sekeliling kita juga turut diambil cakna. Islam mengajar kita bagaimana menguruskan hak-hak jiran tetangga,” jelasnya.

Menurut beliau, selain ibu bapa dan orang dewasa perlu melindungi anak di bawah jagaan mereka, Institusi masjid di setiap mukim juga mesti memainkan peranan.

“Contohnya boleh jadikan (jenayah seksual sebagai) topik dalam khutbah Jumaat,” ujarnya mengulas isu berhubung statistik terkini yang menunjukkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan trend yang semakin meningkat saban tahun.

Terdahulu, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa terdapat 1,570 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan tahun lepas, 110 daripadanya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.

Kenyataan itu juga mendedahkan dari 2017 hingga tahun lepas, terdapat 6,990 mangsa penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan di Malaysia, yang kebanyakannya berumur antara 13 dan 15 tahun.

Najihatussalehah berkata, kerajaan perlu menggunakan semua media yang ada untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Tambahnya, dasar kerajaan terhadap penggunaan internet yang berleluasa untuk mengakses kepada filem atau video porno mesti diperketatkan. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -