‘Molotov cocktail’: Kait BERSATU-PAS sangat tak bertanggungjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbuatan khianat pihak tertentu membaling ‘molotov cocktail’ ke kediaman Ahli Parlimen Beruas, Dato’ Ngeh Koo Ham sehingga menyebabkan beberapa kenderaan pemimpin DAP itu terbakar tidak boleh diterima sama sekali.

Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan, kejadian itu perlu diadili melalui tindakan undang-undang dan polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu.

- Advertisement -

“Kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni.

“Pada masa yang sama, tindakan Ngeh mengaitkan BERSATU dan PAS dalam insiden tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Larut.

Katanya, sayugia diingatkan, dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan. 

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain. Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebegini agar berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan.

“Apatah lagi jika ianya menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelangga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!