Rumah pelacuran: Ancam keselamatan kaum hawa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rumah pelacuran untuk memberi perkhidmatan seks kepada para pekerja warga asing di negara supaya mengelak kejadian rogol ke atas wanita tempatan bukanlah satu penyelesaian, tetapi mengundang malapetaka.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Khadijah, Yusma Yusof berkata, cadangan teramat dangkal itu jelas menyimpang terpesong daripada pelbagai solusi manusiawi dan moral apatah lagi agama khususnya Islam.

- Advertisement -

“Apabila dikemukakan cadangan seperti itu, kononnya ia penyelesaian untuk pekerja warga asing yang ramainya kaum lelaki. Sudah tentu pekerja seks di rumah pelacuran adalah kaum wanita.

“Apakah semurah dan semudah itu untuk merelakan ada kaum wanita, biar siapapun dia diperhambakan sebagai pekerja seks? Memanglah dia bukan nenek, ibu, isteri, kakak, adik atau anak perempuan kita.

“Tetapi tergamakkah kita melacurkan mana-mana wanita? Bayangkan sedemikian cadangan itu dari figura yang dikenali dan dihormati masyarakat, saya fikir kaum wanita adalah sangat-sangat terancam,” ujarnya sedih.

Beliau mengajak artis terkenal yang mencadangkan perkara itu dan semua pihak melihat secara kritikal isu tersebut dan nasib kaum wanita dalam fikiran para penjenayah atau pemedagang orang atau bapa dan ibu ayam.

Akuinya, cadangan dari artis terkenal tersebut adalah satu kejutan yang amat memeranjatkan di mana ia menjadikan seolah-olah kaum wanita tidak selamat di mata sesiapa sahaja.

Tegasnya, kaum lelaki mesti menjadi ‘qawwam’ yakni pelindung kepada wanita sebagaimana tuntutan Islam yang mana ia tidak terhad kepada ahli keluarga sendiri, tetapi seluruh kaum hawa.

Malah, cadangan buruk seperti itu tidak sepatutnya timbul daripada seorang yang berakal dan Muslim kerana ia perkara seperti itu boleh mengundang kepada banyak dan besarnya kefasadan atau kerosakan lain.

“Selain menghancur musnahkan maruah dan kehidupan kaum hawa, mereka juga menjadi mangsa dan punca penyebab penyakit seperti HIV-AIDS. Juga kes seperti keruntuhan rumah tangga.

“Berisiko lahirnya anak-anak tanpa bapa yang kemudiannya terbiar dan menjadi punca pula masalah sosial lain dalam masyarakat, termasuk jenayah. Adakah artis itu rela melihat keadaan itu?” soalnya menangis.

Lebih dikesali katanya, cadangan tersebut lebih menjurus kepada hal memenuhi nafsu serakah, sedangkan bagi membina dan mentamadunkan manusia perlulah dibawa kepada kehidupan yang sihat dan bermaruah. – HARAKAHDAILY 10/1/2024