KOTA BHARU: Sebanyak 100 bakul makanan diagih kepada wartawan bagi menghargai peranan mereka dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai musibah banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Majidah Ismail berkata, pengamal media terus komited menyebarluaskan mesej-mesej serta liputan banjir di semua daerah tanpa mengira masa.
Katanya, sumbangan berkenaan juga sebagai tanda menghargai jasa pengamal media termasuk dalam kalangan mereka yang turut terjejas.
“Ada juga dalam kalangan kami yang turut menjadi mangsa sama ada kediaman ditenggelami banjir serta terkepung menyebabkan tidak dapat keluar bertugas beberapa hari.
“Bagaimanapun, masih ramai komited melaporkan berita walaupun menyedari risiko yang menanti dan usaha itu wajar dihargai,” katanya pada majlis penyampaian bakul makanan di sini.
Sumbangan bakul makanan disampaikan Pengurus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.
Turut hadir, Pengarah Penyiaran Kelantan, Shaheezam Said dan Pengarah Penerangan Kelantan, Muhd Aswadi Mohd Nor.
Majidah juga berkata, KEMUDI turut mewujudkan tabung bencana sejak tahun lalu dan bantuan disalurkan kepada lebih 10 pengamal media yang terkesan akibat banjir. – HARAKAHDAILY 9/1/2024