RM50 juta bantu petani terjejas banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM50 juta bagi membantu petani, penternak, peladang dan nelayan yang terjejas banjir di Kelantan.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan menerusi Tabung Bencana Pertanian itu akan memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian.

Selain itu Agrobank turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta.

Malah, Agrobank turut memberi moratorium sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam sedia ada yang terjejas akibat banjir.

“Skop keterjaminan makanan bukan sahaja di bawah tanggungjawab KPKM semata-mata tetapi juga melibatkan peranan semua pihak selaras dengan konsep Keterjaminan Makanan Adalah Tanggungjawab Bersama.

“Misalnya, bagi mengukuhkan lagi keterjaminan makanan, sejumlah RM400 juta disediakan di bawah Belanjawan 2024 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif khusus dengan fokus untuk meningkatkan pengeluaran domestik dan kadar sara diri (SSR) komoditi makanan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Agro Madani Kelantan, di sini, hari ini. Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Mohamad juga berkata, kerajaan menghargai sumbangan besar komuniti agromakanan di Kelantan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, katanya inisiatif KPKM amat penting bagi membantu kumpulan sasar yang terkesan banjir untuk bangkit semula.

“Saya menekankan faktor kesegeraan dan kecekapan dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut dan yakin sistem penyampaian KPKM kepada kumpulan sasar dapat dipertingkatkan lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2024