KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membantu petani, penternak, peladang dan nelayan di negeri itu yang terjejas akibat banjir.
Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama rapat kementerian dengan kerajaan negeri.
Katanya langkah itu penting bagi merancakkan pembangunan sektor makanan bagi keperluan rakyat di negara ini.
“Saya harap perbincangan lebih kerap dan peruntukan daripada kementerian turun ke agensi berkaitan dan kerajaan negeri bagi membangunkan sektor pertanian dan agromakanan.
“Dan insya-Allah kerjasama ini akan memberi impak besar dalam sektor makanan dan pertanian. Saya mengucapkan terima kasih untuk bekerjasama menjayakan sektor makanan,” katanya selepas Majlis Agro Madani Kelantan, di sini, hari ini.
Sebelum itu Menteri KPKM Mohamad Sabu berkata, program pengukuhan keterjaminan makanan, bukan tanggungjawab kementerian itu sahaja, sebaliknya ia membabitkan semua pihak.
Katanya, perancangan jangka masa panjang KPKM membina dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi di luar jelapang.
Kata beliau kawasan itu berpotensi untuk dibangunkan penanaman padi dua kali setahun.
“Maka sudah tentu KPKM memerlukan kerjasama dan sokongan kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!