KOTA BHARU: Kanak-kanak di Gaza menghadapi kekurangan zat makanan yang semakin teruk akibat pengeboman berterusan Zionis Israel sejak tiga bulan lalu.
Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa iReach Malaysia-Gaza, Johan Ariff Ismail berkata, kes cirit-birit yang berlaku melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun meningkat daripada 48,000 kepada 71,000 dalam masa seminggu sejak 17 Disember lalu.
Malah, katanya sehingga kini Semenanjung Gaza menjadi tempat paling bahaya di dunia, di mana 9,280 kanak-kanak terbunuh daripada jumlah 22,722 rakyat Palestin yang syahid dalam serangan itu.
“I-REACH Malaysia mengecam akan tindakan ganas tentera Israel yang melakukan kekejaman serius dan paling tidak berperikemanusiaan,” katanya di sini.
Menurutnya juga sehingga kini i-REACH mengagihkan tujuh pusingan edaran makanan siap dimakan di Gaza.
Beliau turut mengharap sumbangan derma daripada orang ramai bagi meneruskan misi kemanusiaan di Gaza. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun https://www.billplz.com/tabung-alqsa-gaza atau hubungi 60111 3388 409 (Whatsapp). – HARAKAHDAILY 9/1/2024