KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam menegaskan isu lambakan warga asing dan peniaga dalam kalangan mereka perlu dipandang serius oleh kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu sudah berlarutan sehingga mereka mempunyai komuniti di negara ini.
“Kadang-kadang mereka tidak takut kepada pihak penguasa. Apatah lagi mereka yang berniaga sedangkan rakyat Malaysia kalau nak berniaga pun sangat sukar untuk mendapat lesen dan sebagainya.
“Jadi kita harap tindakan terhadap peniaga warga asing yang sangat berleluasa, sehingga menjadikan kawasan itu seolah-olah pekan mereka sendiri,” tegasnya.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat Malaysia itu turut melahirkan kebimbangan untuk pergi ke tempat yang dimonopoli warga asing seperti Chow Kit.
Menurut beliau, warga asing yang berada di Malaysia bukan sahaja dari Bangladesh, Indonesia, India bahkan dari negara China juga,” katanya ketika dihubungi Harakah.
Katanya, perkara itu perlu ada tindakan bersepadu dari semua pihak bukan sahaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sebagainya.
Beliau menegaskan kebanjiran warga asing ke Malaysia menyebabkan banyak isu sosial, gangsterism di Chow Kit dan Pasar Selayang.
Katanya, manakala di Puchong pula kebanjiran warga asing dari Myanmar yang mempunyai kongsi gelap sendiri.
Beliau berkata, secara umumnya kehadiran mereka amat diperlukan di sesetengah tempat seperti estet.
Namun kata beliau kebanjiran warga asing yang berlebihan menyebabkan mereka boleh berniaga sehingga mampu mempunyai komuniti sendiri.
“Perkara ini perlu diambil tindakan tegas terutama di Kuala Lumpur oleh DBKL,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 9/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!