Dilema tebatan jadi punca banjir di Rantau Panjang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Teknologi dan perancangan kadang-kala tidak berkesan berbanding pengalaman dimiliki penduduk kampung kerana mereka lebih tahu situasi setempat.

- Advertisement -

Mungkin itu yang berlaku terhadap projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok apabila benteng yang dibina akhirnya pecah pada akhir Disember lepas.

Sedangkan projek itu sejak dari awal lagi disedari penduduk kurang dibina pintu aliran keluar air sehingga menyebabkan berlaku banjir termenung dalam tempoh begitu lama.

Malah difahamkan kerajaan membina 10 terowong pintu air yang bernilai lebih RM2 juta pada Julai tahun lalu bagi mengalirkan air ke sungai.

Bagaimanapun setelah siap ia masih belum berupaya melaksanakan fungsinya dengan baik sehingga banjir terus berulang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha pada kenyataan sebelum ini mengakui projek PLSB Sungai Golok memerlukan penambahan bilangan alur limpah di Sungai Lemal Lanchang.

Katanya faktor air banjir termenung sudah dimaklum kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi tindakan lanjut.

Menurutnya juga kajian dibuat susulan Kampung Tersang dan Kampung Lanchang dilanda banjir termenung akibat limpahan air dari hulu Sungai Golok dan Danau Tok Uban yang terhenti di kedua-dua kampung terbabit.

“Kajian dibuat Bahagian Pengurusan Banjir JPS Putrajaya dan JPS Kelantan bagi melihat masalah banjir termenung yang turut membabitkan kerjasama konsultan bagi melakar rekabentuk alur limpah.

“Jika perlu ditambah laluan air keluar atau alur limpah dari tebatan banjir, bagaimana laluan air termenung dapat dialirkan ke Sungai Golok dan mengurangkan kerosakan harta benda penduduk,” katanya.

Kampung Tersang dan Kampung Lanchang yang sering ditenggelami banjir beberapa tahun kebelakangan ini terletak di kawasan agak rendah dan mudah dilimpahi air ketika musim Monsun Timur Laut.

Benteng merupakan komponen utama projek PLSB menjadi antara punca kedua-dua kampung tenggelam setiap kali musim tengkujuh. Sedangkan sebelum tebatan dibina lokasi tidak ditenggelami banjir.

Malah situasi bertambah buruk dengan pembinaan tebatan banjir separuh siap. Pernah dicadangkan kerajaan menyediakan pam air berkuasa tinggi untuk menyedut air keluar ke Sungai Golok.

Pembinaan projek tersebut membabitkan fasa 2 difahamkan akan dilaksana selewat-lewatnya pada April hadapan. – HARAKAHDAILY 9/1/2024

Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad berbincang dengan pegawai JPS menangani isu banjir di Rantau Panjang.