Tuduhan rasuah: Target mereka adalah saya, kata Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliaulah sasaran sebenar di sebalik penahanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berserta beberapa individu lain yang dikaitkan dengan menerima rasuah RM6 juta.

- Advertisement -

Menurutnya, empat individu yang ditahan itu hanyalah aksesori namun tujuan sebenar untuk menggambarkan Kedah diperintah olehnya banyak berlaku rasuah.

“Target mereka adalah saya sebab saya tidak seiring fahaman politik dengan mereka. Depa cari kes saya berbulan-bulan tapi tak jumpa.

“Jadi tangkap empat orang tu hanya aksesori sahaja. Depa sebenarnya nak apa? Kebenaran atau nak pekena orang,” tegas beliau ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Katanya lagi, kononnya empat individu itu dipanggil untuk memberi keterangan tetapi hakikatnya mereka dipamerkan seolah-olah melakukan kesalahan itu.

“Kalau nak panggil untuk beri keterangan, kenapa perlu letak kenderaan jauh-jauh. Lepas itu jemput wartawan ambil gambar.

“Semua itu propaganda murahan pihak tertentu guna agensi awam. Sebab itu saya marah, agensi awam tidak boleh digunakan untuk tujuan seperti itu,” bidasnya lagi.

Jelas Sanusi, wang yang dimaksudkan itu sebenarnya dimasukkan ke akuan KFA bukan ke empat individu terbabit.

Malah ujarnya lagi, jumlah sebenar bukanlah RM6 juta seperti yang didakwa sebaliknya hanya RM5 juta sahaja.

“Sumbangan untuk KFA jumlah RM5 juta. Di mana hangpa ambik jadi RM6 juta. Depa sengaja sebut nak bagi banyak. Tu depa jahat.

“Duit itu guna untuk bayar hutang. Pasai apa mereka yang kena tuduh sedangkan ada pihak lain yang patut kena bukan mereka sedangkan daripada empat yang ditahan, hanya seorang sahaja yang bekerja mengurus KFA sementara tiga lagi tidak,” luahnya.

Mengulas lanjut, kata Sanusi, persepsi dan naratif kononnya di Kedah berlaku banyak rasuah sehingga membabitkan industri bola sepak, semuanya sengaja dilakukan agar KFA terkesan.

Para penyumbang ujarnya tentulah ‘membatalkan’ hasrat untuk memberi sumbangan kepada KFA kerana digambarkan berlaku penyelewengan di dalam persatuan bola sepak itu.

Namun sebenarnya jelasnya hal itu tidakpun berlaku sedangkan wang sumbangan semuanya masuk ke akaun KFA bukannya akuan peribadi empat individu berkenaan.

“Sanusi ini tak ada apa-apa kes untuk depa nak ada-adakan, jadi depa usaha bina persepsi dan naratif buruk tentang Kedah dan KFA. Seolah-olah bola pun rasuah,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Presiden KFA memaklumkan, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin berjumpa serta berbincang dengannya.

“Mai la bila-bila pun. Nak tanya apa. Saya bersedia beri kerjasama 28 jam,” katanya.

Justeru beliau menasihati pihak yang bersekongkol membuat penganiayaan terhadap empat individu terbabit agar segera bertaubat sama ada melibatkan media yang membuat liputan, merancang, termasuk yang memakaikan gari serta pakaian kuning kepada tertuduh.

“Semua yang bersedongkol, berdosa. Hangpa jawab di akhirat nanti saya tak tau,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -