Provokasi DAP nak lihat orang Melayu bangkit bantah

Agenda melampau untuk pecah-belah kesatuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP cuba untuk melihat sejauh mana reaksi umat Islam dalam sesuatu isu dilontarkan, sama ada akan bangkit menentang atau sebaliknya menerima sahaja pandangan parti itu.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni menyatakan demikian sebagai mengupas gelagat para pemimpin bukan-Islam DAP yang menyinggung isu berkaitan Islam mutakhir ini.

- Advertisement -

Katanya, pandangan dan lontaran idea sesuka hati mereka tanpa memikirkan perasaan dan sensitiviti umat Islam itu boleh dianggap perbuatan campur tangan ke atas urusan agama Islam.

Bidasnya, tindakan tersebut adalah satu perbuatan tidak beretika dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan keadaan masyarakat Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti di negara ini.

Beliau merujuk kepada isu Perdana Menteri bukan-Melayu, Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan isu cadangan pelantikan pakar bukan-Islam untuk mengkaji kompetensi DUN bagi menggubal Undang-undang Syariah. 

“Semua ini menunjukkan permulaan secara lebih agresif campur tangan DAP terhadap kepentingan umat Melayu-Islam yang menampakkan wajah sebenar mereka.

“Seharusnya sebagai seorang warga negara, fahami rukun negara dan Perlembagaan Negara agar tidak terjebak dengan tindakan provokasi dan tidak beretika seumpama itu. 

“Bagi umat Islam pula seharusnya menyedari agenda DAP yang semakin melampau ini akan terus memecahbelahkan kesatuan umat Melayu-Islam jika dibiarkan. 

“Seharusnya anggota MP (Ahli Parlimen) Melayu-Islam yang berada di dalam Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sentiasa peka dan mengawasi perkembangan ini. 

“Usahlah kerana ingin mempertahankan kedudukan di dalam kerajaan, segala kepentingan umat Melayu-Islam dan kepentingan masyarakat keseluruhannya dibiarkan untuk dinodai tanpa sedikit pun rasa kebertanggungjawaban atau prihatin.

“Ayuh kita melihat kepentingan Ummah secara keseluruhannya dan bagaimana kesan sesuatu tindakan itu terhadap masa depan generasi akan datang,” serunya. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -