KOTA BHARU: Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan melaksana projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sepanjang Sungai Golok yang merentasi jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Projek tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM2.156 bilion bagi menyelesaikan secara menyeluruh masalah banjir setiap kali tiba musim tengkujuh.
PLSB Sungai Golok pada perancangan awal membabit tiga fasa dijangka siap pada Ogos 2024 dan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), 2016-2020 sehingga RMK-13 bermula 2026.
Pembinaan bagi fasa 1 di Tumpat sudah siap sepenuhnya, manakala PLSB Fasa 2 tidak dapat diteruskan akibat perubahan pentadbiran di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.
Pada peringkat itu ia melibatkan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian di Pasir Mas dengan kos RM656 juta bagi mengelak banjir termenung di kawasan terbabit.
Alasan menangguh projek berkenaan bagi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kelulusan projek tersebut oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat secara tidak teratur termasuk memberi tender secara rundingan terus.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan kerajaan tidak sewajarnya menganggap semua projek melalui tender itu tidak teratur.
Menurut kaedah melaksanakan PLSB perlu disegerakan dan ia bukan satu kesalahan bagi menyelamatkan harta benda dan nyawa penduduk.
“Banyak projek kecemasan perlu dipercepatkan pelaksanaan bagi meminimakan dan mengurangkan kerosakan akibat bencana yang berlaku setiap kali tibanya musim tengkujuh,” katanya.
Kesan tindakan Kerajaan Madani menyebabkan penduduk di Rantau Panjang terus berdepan dengan kerugian akibat banjir. Tahun lepas berlaku tiga kali gelombang banjir.
Sedangkan sekiranya projek fasa 2 diteruskan sebagaimana dirancang pada akhir 2022, banyak harta benda milik penduduk dapat diselamatkan.
Kelewatan projek itu lebih setahun memberi kesan mendalam kepada penduduk di Rantau Panjang.
Paling terkesan penduduk di Kampung Tersang dan Kampung Lanchang di mana banyak harta benda mereka rosak, selain itu terpaksa berkampung lebih lama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Penduduk juga mendakwa mereka berhadapan dengan masalah penyakit kulit kerana terpaksa mengharungi air banjir termenung yang lambat surut. – HARAKAHDAILY 8/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!