Nasihat, amaran kepada peniaga tidak patuhi peraturan

Razali Saad memberi penerangan kepada salah seorang peniaga di sekitar Pusat Perniagaan Padang Besar
- Advertisement -

PADANG BESAR: Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) serta Kawalselia Padi dan Beras (KPB) akan memberi fokus kepada Pusat Perniagaan Padang Besar yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan & Industri Makanan; Hal Ehwal Pengguna & Kos Sara Hidup negeri, Razali Saad berkata, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap para peniaga di sekitar pusat terbabit mendapati majoriti daripada mereka adalah dari Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati penjualan beras, pulut, dan hasil sampingan seperti tepung beras dan tepung pulut dari Thailand yang tidak sah dijual secara terbuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya lagi, nasihat dan penerangan mengenai kesalahan disampaikan kepada para peniaga yang terlibat serta amaran sebagai tindakan selanjutnya.

Sementara ujar Razali, pihaknya juga akan mengeluarkan memo kesalahan dan denda sebagai langkah tegas untuk memastikan pematuhan peraturan perdagangan dan kesejahteraan pengguna.

Turut sama anggota KPB Perlis Mohd Amirudin Che Hat, Mohamad Fadel Jaini, Nor Azliza Abdullah, Mohd Sufizan Abu Laini, dan M. Faro Akbar Fadzial, serta wakil KPDN Perlis.

“Tindakan dan operasi ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa untuk memastikan kepatuhan dan keselamatan dalam industri perniagaan, khususnya di kawasan perniagaan yang melibatkan produk asing,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -