MELIHAT kepada penderitaan dan pembantaian berdarah Gaza di kaca-kaca TV dan media sosial yang sudah masuk hari ke-90, dunia rata-rata hairan melihat kepada keteguhan penduduk Gaza menghadapi seribu satu dugaan. Ramai yang akhirnya memeluk Islam setelah terpanggil untuk menelaah al-Quran asbab untuk memahami ketabahan dan kesabaran warga Muslim Gaza.
Namun menarik juga untuk kita menjengah sejarah tanah Gaza yang sejak ribuan tahun lampau, disebabkan kedudukannya di persimpangan benua Afrika, Semenanjung Arab dan Asia berdepan dengan peperangan dan penaklukan kuasa asing. Alexander the Great semasa muda juga pernah menakluk Gaza dalam perang yang dikenali sebagai Battle of Gaza pada 332SM.
Pada 217SM pula Ptolemy IV, Raja Mesir direkodkan berperang dengan Antiochus III the Great, Raja Selucid dengan menggunakan gajah perang. Apa yang menarik gajah pygmy yang diimport dari Ethiopia itu dikatakan lari setelah ‘gerun’ melihat gajah perang India yang lebih besar. Namun ada juga pandangan yang mengatakan bahawa gajah-gajah tersebut dimabukkan dan ada juga pandangan yang berhujah menyalahkan isu ‘inbred’ gajah-gajah pygmy tersebut. Setelah kempen ketenteraan di Timur berjaya, Alexander the Great dikatakan mula membawa pulang gajah-gajah perang Asia dari sana.
Menarik juga untuk kita tahu bahawa perkataan Gaza dalam bahasa Kanaan bermaksud ‘gagah’.
Bercakap mengenai gajah dan peperangan, suka dikongsikan juga setelah kejatuhan Melaka ditawan kuasa kolonial Portugis, seekor gajah India dihantar ke Eropah, sebagai hadiah meraikan kemenangan besar Portugis. King Manuel I yang menerima haiwan itu kemudiannya menghadiahkan pula gajah putih tersebut, yang sampai di Portugal pada tahun 1514 kepada Pope Leo X. Gajah yang diberi nama Hanno atau Annone dalam bahasa Itali itu menggemparkan Rome dengan aksinya, melutut di depan Pope dan kemudiannya menyedut dan menghamburkan air ke arah khalayak ramai dengan belalainya.
Pope Leo X pernah menulis menceritakan perihal Hanno “with the greatest amusement and has become for our people an object of extraordinary wonder.” Menurut rekod setelah dua tahun di Eropah gajah Asia yang dihantar oleh Alfonso de Albuquerque itu jatuh sakit dan mati. Sang Pope yang sangat terkesan akan kehilangan haiwan kesayangannya itu mengabadikan kesedihannya dalam sebuah epitaph. Sehingga kini, bangkai Hanno dikatakan masih tertanam di bawah Vatican City, Rom.
Bercerita mengenai gajah juga mengingatkan penulis kepada keterujaan Maharaja Yongle apabila pertama kali melihat zirafah seratus tahun sebelum Hanno muncul di Eropah. Zirafah yang dihadiahkan oleh rombongan Malindi kepada Laksamana Cheng Ho itu sangat mengujakan sehingga ianya yang dianggap Maharaja Ming itu sebagai qilin, sejenis haiwan ajaib. “Truly was produced of qilin, whence shape was as high as fifteen feet, with the body of a deer and the tail of an ox, and a fleshy, boneless horn, with luminous spots like a red cloud or purple mist.” Petikan sajak yang dikongsikan ini diinspirasikan oleh haiwan tersebut malah sebuah lukisan menggambarkan ‘haiwan ajaib’ itu masih tersimpan di National Palace Museum, Taiwan.
Sememangnya hobi membaca kisah sejarah adalah sesuatu yang mengujakan. Namun tentunya mengkaji sejarah, seperti juga mengkaji cabang ilmu lain memerlukan disiplin dan kemampuan yang berbeza. Tentu saja pemfokusan dan method yang berbeza bakal membawa kepada kesimpulan yang tidak serupa. Apatah lagi jika sesuatu kajian itu memerlukan perkiraan beberapa disiplin yang berbeza.
Hakikatnya ilmu dan keilmuan itu amatlah luas. Kias akan sirah Nabi Musa A.S dengan Nabi Khidzir A.S juga bercerita mengenai itu. Malah seorang jeneral tentera yang gah, yang mengetuai ratusan ribu tentera sekalipun direkodkan Hikayat Iskandar Zulkarnain terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai seorang yang sentiasa meminta nasihat dan pandangan Nabi Khidzir A.S dalam usaha Baginda menyebarkan tauhid, dari Masyrik hinggalah ke Maghrib.
Seorang sarjana sekalipun tidak mungkin mampu menguasai semua bidang ilmu. Charlton Neville Maxwell mengabadikan 40 tahun menguasai Bahasa Melayu. Malah memaksa diri beliau berfikir dalam Bahasa Melayu untuk lebih memahami bahasa yang dikajinya itu.
Seperti kisah gajah dan zirafah yang disebut di atas pasti ada yang belum pernah dengar? Malah kewujudan gajah dan zirafah juga ratusan tahun lampau adalah satu pengetahuan yang teramat langka.
Namun kenapakah masih ada di kalangan kita yang sanggup memperleceh malah menghujat para pengkaji hanya kerana kita mempunyai pandangan berbeza?
Adakah dunia keilmuan kita sudah ketandusan ilmu dan sepertinya adab, apabila hujah bukan lagi dilawan dengan hujah semata? Mengapakah kita tidak memilih jalan ilmiah seperti menulis makalah akademik ataupun sebuah buku untuk mengangkat hujah yang kita percaya sepenuh jiwa raga itu?
Seratus tahun lampau, selama beberapa tahun lama, dua tokoh feringghi ‘bertikam lidah’ berdebat melalui penulisan mereka tentang kewujudan Melaka, empayar Melayu terkaya dunia itu. Gabriel Ferrand berpandangan bahawa Melaka telah wujud lebih awal dan dikenali dengan nama Malayur. Namun Gerret Pieter Rouffaer tidak bersetuju ianya telah wujud lebih awal daripada 1400 tahun Masihi. Menariknya mereka berdua telah meninggalkan ratusan muka surat penulisan ilmiah yang sudah tentu merupakan khazanah dan ‘hadiah’ ilmu yang tidak ternilai untuk dunia, khasnya bagi kita di Malaysia, pewaris kepada kegemilangan lepas.
Menurut Kwa Chong Guan pula, George Coedes berjaya “colligated fragmentery and elliptical Malay and Tamil epigraphy as well as Chinese and Arabic texts in order to reconstruct the forgotten trading emporium of Srivijaya“.
Kenapakah kita, khasnya para sarjana tidak ikut jejak serupa dalam kajian atau pendekatan yang sama berkenaan polemik ‘Keturah’ contohnya? Bukankah kita akan lebih bersinergi dengan lebih banyak kajian dilakukan lebih ramai pengkaji untuk membuktikan kaitan ‘Keturah’ dengan Alam Melayu atau sebaliknya?!
Pernahkah kita terfikir mungkinkah susuk gergasi yang dikisahkan dalam Hikayat Merong Mahawangsa contohnya adalah bangsa Turan yang mempunyai fizikal jauh lebih besar dan tinggi daripada sekumpulan negrito tempatan? Tony Joseph, pengarang buku Early Indians: The Story of Our Ancesrors and Where We Came From berpandangan bahawa ‘sekumpulan kera’ dalam legenda Rama melawan Rawana sebenarnya berakar daripada satu pembacaan rasis berteraskan Aryanisme terhadap sekumpulan manusia yang masih mengamalkan kehidupan primitif seperti yang boleh dilihat kini di kalangan peribumi sentinel di Kepulauan Andaman.
Penemuan-penemuan baharu dalam kajian sejarah bukanlah sesuatu yang pelik. Pada 1926 seorang tokoh etnologis Perancis, Dr Paul Adolfe Rivet menerbitkan esei bertajuk “Les Malayo-Polynesiens en Amerique” dalam Journal des Americanistes de Paris antara lain mendakwa suku Hoka, Indian Amerika Utara di Oregon, California, Arizona, Texas, Nevada, Mexico dan sejauh segenting Tehuantepec di Selatan berbahasa Melayu. Kajian antrapologi dan etnografi beliau itu menyenaraikan 281 perkataan sebagai perbandingan. Kajian beliau juga meliputi 38 dialek Hoka dengan perkataan dikutip daripada 263 tempat di Melanesia, 37 tempat di Polynesia, 10 tempat di Micronesia dan 187 tempat di Indonesia sambil memberi rujukan bibliografi 181 buah buku dan artikel.
Hari ini seratus tahun selepas pendedahan itu kita agaknya masih tergaru-garu kepala kalaupun tidak menghujat doktor perubatan tersebut sebagai ‘kaki claim’!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 8/1/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!