ARAU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah memberikan dorongan penting kepada pendidikan dengan menyumbangkan bantuan awal pengajian sebanyak RM1,000 kepada 100 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Penerima bantuan terpilih terdiri daripada pelajar semester satu dan dua, terutamanya golongan B40.
Majlis penyerahan replika cek bantuan awal pengajian dihadiri oleh Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani, dan disampaikan kepada Bendahari UniMAP, Rusdi Puteh mewakili Naib Canselor UniMAP.
Turut serta Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin, dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Rusdi menyatakan harapannya agar bantuan kewangan itu dapat meringankan beban kewangan pelajar.
“Menerusi bantuan ini, ia membolehkan para pelajar memberi tumpuan penuh kepada pengajian,” katanya ketika majlis penyerahan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa semua sumbangan kewangan akan disalurkan melalui Tabung Amanah UniMAP, yang diuruskan oleh Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P).
“Pelajar UniMAP yang memerlukan bantuan kewangan atau sokongan boleh menghubungi pengurusan universiti.
“Kami juga menawarkan pelbagai skim bantuan sepanjang tahun melalui Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!