JELI: Jalan runtuh di FT66 Jalan Sungai Sam-Jeli di Kampung Kubur Datu dekat sini baru-baru ini turut mendapat perhatian Menteri Besar.
Dato Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud meninjau lokasi kejadian petang semalam selepas program Amanat Tahun Baharu di Kota Darulnaim.
Jalan tersebut runtuh akibat tanah mendap menyebabkan kesukaran penduduk untuk melakukan aktiviti harian.
Malah JKR dan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli serta Adun Kuala Balah Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil meninjau lokasi terbabit selepas kejadian tersebut berlaku.
Menteri Besar berkata, beliau melawat lokasi kejadian bagi melihat sendiri situasi susulan tanah mendap berlaku.
“Saya menyedari kerumitan dan kesulitan yang dialami penduduk setelah laluan perhubungan terputus akibat jalan mendap.
“Saya menerima laporan terkini daripada JKR berkenaan gerak kerja terkini bagi pelaksanaan segera bagi membaiki laluan yang terjejas,” katanya pada catatan di media sosialnya.
Menurutnya juga JKR memberi komitmen kerja-kerja pemasangan jambatan bailey akan dapat disiapkan dalam tempoh lima hari bagi membuka semula laluan tersebut kepada orang ramai. – HARAKAHDAILY 5/1/2024