PADU: Apa yang tak kena?

- Advertisement -

KERAJAAN Anwar-Zahid sangat bernafsu mahu rakyat mendaftar bagi merealisasikan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU), sedangkan data-data peribadi tersebut sebenarnya sudah ada pada kerajaan. Sejak kita lahir hinggalah ditanam ke dalam kubur, segala maklumat tersebut ada dalam rekod kerajaan.

Cuma, data tersebut dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab, seperti data kelahiran dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara, data pendapatan (bagi yang berpendapatan tetap) dimiliki agensi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), data pemilikan kenderaan dimiliki Jabatan Pengangkutan Jalan, dan lain-lain.

Walaupun setiap agensi kerajaan mempunyai akta tersendiri terhadap kerahsiaan maklumat tersebut bagi agensi masing-masing, tetapi kerajaan mempunyai kuasa terhadapnya. Kerajaan boleh meminda apa-apa undang untuk memusatkannya.

Objektif PADU sebenarnya sudah cukup bagus untuk memusatkan segala data rakyat Malaysia ke dalam sebuah sistem yang bakal mengurangkan birokrasi agensi kerajaan dan memudahkan pengagihan subsidi bersasar sebagaimana diimpikan Menteri Ekonomi. Sebelum ini, ada kala semakan silang perlu dibuat terhadap suatu maklumat bersama agensi lain sebelum kelulusan terhadap permohonan itu diberikan.

Namun, apa relevannya menyuruh rakyat berswafoto dan memuat naik gambar kad pengenalan semasa proses mendaftar? Proses sebegini memungkinkan autentik dan keaslian pemilik diragui kerana orang lain boleh menggunakan maklumat diri kita untuk mendaftar, sebagaimana yang diingatkan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dalam ciapannya di X mengenai PADU.

Tidak perlu pelaksanaan populis sebegini untuk pemusatan data rakyat. Adakah kerajaan hanya mahu mempamerkan seolah-olah kerajaan sudah mendepani zaman? Bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan mahu meyakinkan rakyat, sedangkan isu kerahsiaan maklumat rakyat Selangor dalam Skim Insuran Hayat Selangor (INSAN) pun tidak selesai, inikan pula data raya 33.4 juta rakyat Malaysia.

Apa yang sepatutnya kerajaan lakukan ialah mengintegrasi data antara agensi kerajaan terlebih dahulu, kemudian minta rakyat hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara misalnya untuk proses pengesahan bersama cap jari yang semestinya unik untuk setiap orang. Itu lebih menjamin keaslian maklumat diri berbanding pelaksanaan PADU ini yang memungkinkan pelbagai implikasi.

MOHAMED SUKRI OMAR 
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -
- Advertisement -