Kerajaan negeri bantu petani, penternak terjejas banjir

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kerajaan Kelantan mengambil perhatian terhadap kerugian ditanggung petani dan penternak yang terkesan akibat banjir.

- Advertisement -

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mana-mana petani dan penternak yang terlibat perlu membuat laporan kepada agensi berkaitan.

Katanya saban tahun kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan membantu petani dan penternak yang terjejas akibat banjir.

“Banjir baru-baru ini yang melanda tiga gelombang dianggap penduduk di Rantau Panjang antara terburuk pernah dihadapi.

“Anggaran kerugian yang dihadapi lima petani yang kami lawati sekurang-kurangya berjumlah RM11,000.

“Mereka mengusahakan tanaman fertigasi cili, petola, timun dan cendawan sisir dengan keluasan 1.7 hektar,” katanya selepas melawat projek tersebut hari ini.

Hadir sama Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Norbahani Zakaria dan wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan.

Tuan Mohd Saripuddin juga berkata, kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan membantu petani dan penternak yang terjejas akibat banjir bagi mengurangkan bebanan mereka.

“Kerjasama semua pihak penting bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -