SEKULARISME yang menjadi dasar perjuangan DAP pastinya bertembung dengan Islam. Perkara ini tidak dapat dielakkan, sehinggalah DAP menggugurkan dasar sekularnya itu. Pertembungan itu kekal berlaku sekalipun mereka mendakwa mereka mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.
Kenyataan Ngeh Koor Ham
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan cadangan Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Beruas dan juga penasihat Parti DAP.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar dari kalangan masyarakat bukan-Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, yang ditubuhkan baru-baru ini [1].
Beliau turut menyatakan bahawa langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan-Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Pada Jun tahun ini, beliau turut pernah menimbulkan kontroversi apabila mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bagaimana perkahwinan warganegara Malaysia beragama Islam yang berkahwin dengan bukan-Islam di luar negara dapat diiktiraf di Malaysia. [2]
Termasuk juga kenyataan beliau pada Oktober baru ini, cadangan supaya kerajaan bertindak secara pentadbiran untuk membetulkan status 137 Orang Asli Bateq Mayah dengan memadam perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalan mereka. [3]
Beliau menyatakan bahawa kerajaan perlu menegakkan kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menarik balik cadangan
Kenyataan beliau baru-baru ini mengenai cadangan melantik pakar dari kalangan bukan-Islam untuk bersama dalam JK Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam telahpun ditarik balik pada 30 Disember. [4]
Kenyataan tersebut ditarik balik setelah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menitahkan agar semua rakyat termasuk pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam di Malaysia [5].
Cuma, yang dapat dilihat ialah bagaimana pendekatan Ngeh Koo Ham dalam menzahirkan cara fikir sekularnya. Cara fikir seperti ini pastinya memberi kesan kepada kedaulatan Islam, apatah lagi apabila ketetapan Undang-undang Syariah turut melibatkan pengaruh orang bukan-Islam.
Jika difikirkan kembali, garis panduan Undang-undang Syariah disusun oleh golongan yang pakar mengenai Islam. Sekurang-kurangnya panel tersebut telah diiktiraf keilmuan mereka dalam bidang Islam. Justeru, tiada alasan yang signifikan pun untuk meletakkan bukan Islam dalam jawatankuasa tersebut.
Di sini kita dapat lihat bagaimana pendekatan sekular DAP selaras sepertimana yang mereka perjuangkan.
DAP dan dasar sekularisme
Apabila diamati dan diteliti, DAP sememangnya konsisten dengan dasar sekularnya. Secara umumnya, ia difahami dengan sesebuah negara diperintah tanpa pengaruh agama. Perkara ini diterangkan dalam buku Mengenali DAP, yang diterbitkan oleh Jabatan Pendidikan Politik Parti Tindakan Rakyat (2010) [6];
“Malah, DAP mengambil kira bahawa Malaysia adalah bukan milik mutlak mana-mana pihak. Asas yang menjadi panduan kepada dasar dan prinsip DAP adalah sepertimana yang termaktub dalam Deklarasi Setapak yang diumumkan pada 29 Julai 1967. Hal ini menyebabkan DAP sentiasa berpegang teguh kepada matlamat asalnya dan kekal sehingga hari ini iaitu mempertahankan Malaysia supaya terus menjadi sebuah negara demokrasi sekular dan bukannya negara agama.”
Antara lain, ucapan Syahredzan Johan, ketika itu sebagai SU Politik Lim Kit Siang.
“Orang salah faham tentang sekularisme mengatakan bahawa ia tak ada agama walhal sekular itu bermakna pemisahan agama dan pentadbiran.” [7]
Walau bagaimanapun, beliau menyifatkan bahawa sekularisme yang mereka perjuangkan, berbeza dengan sekularisme negara-negara Barat seperti Perancis dan Jerman.
Beliau turut menyatakan [7];
“Jadi bila kita nak buat undang-undang contohnya, orang yang akan gubal undang-undang tu siapa? Bukan orang Islam sahaja. Ia perlu melalui proses sekular di mana ia perlu digubal, dibincangkan dibahaskan oleh semua wakil rakyat.”
“Jadi itu adalah proses sekularlah. Jadi untuk kata DAP sekular, memang aku tak ada masalah.”
Antara yang dinyatakan oleh Lim Kit Siang;
Pendirian yang telah diambil oleh DAP bahawa negara Malaysia adalah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi merupakan pendirian yang sama dan berkonsisten dengan yang diambil oleh tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama [8]
Dalam satu temuduga, YB Hannah Yeoh, yang merupakan pimpinan DAP menyatakan;
Sekularisme ialah satu konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan bukannya menolak agama. Negara sekular ialah sebuah negara yang mempunyai pemerintah yang mengiktiraf dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak berkuasa. [9]
Pertembungan Islam dan sekularisme
DAP sering mendakwa bahawa perjuangan mereka tidak bertembung dengan Islam, malah masih mengekalkan Islam sebagai agama rasmi [8]. Tetapi mereka perjuangkan sekularisme. Justeru, apa yang mesti kita teliti ialah pertembungan antara Islam dan sekularisme sendiri.
Berdasarkan kenyataan Syahredzan Johan yang dinukilkan di awal tadi, beliau menyatakan bahawa sekularisme yang diperjuangkan oleh DAP tidak sama dengan sekularisme di negara-negara Barat, yang bersifat ‘tidak ada agama’. Sebaliknya mendakwa mereka menghormati kebebasan beragama setiap orang [7].
Justeru, apa yang perlu kita teliti ialah di manakah pertembungan antara Islam dan sekularisme DAP?
Antara yang disebutkan [7] [9] ialah Sekularisme menurut DAP ialah pemisahan agama dan pentadbiran. Para pimpinan DAP menganggap bahawa perkara ini tidak menyalahi Islam. Hakikatnya ia bertembung dengan firman Allah S.W.T;
FirmanNya;
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’”
(al-Baqarah: 30)
Perkataan khalifah atau khilafah ialah mentadbir urusan dunia dengan agama Allah, iaitu Islam.
Menolak sekularisme
Apa yang boleh difahami daripada kenyataan-kenyataan pimpinan DAP, sekularisme yang mereka perjuangkan tidak menolak mana-mana agama jika ia sekadar kepercayaan individu. Akan tetapi mereka menolak penyatuan kuasa dan pentadbiran dengan institusi agama, khususnya Islam.
Mereka mendakwa, jika institusi Islam tersebut ingin memperkasakan Undang-undang Syariah, perlu melalui proses proses sekular. Iaitu dibahaskan di Parlimen oleh semua wakil rakyat, termasuk mereka yang tidak beragama Islam, bahkan tidak tahu pun asas-asas Islam.
Persoalannya, jika Islam yang diwahyukan oleh Allah S.W.T itu tidak boleh mempengaruhi pemerintahan, maka nak perintah negara berdasarkan apa? Pastinya mereka terpaksa meletakkan akal sendiri sebagai sumber pemerintahan negara. Persoalannya, adakah akal itu sentiasa betul?
Termasuk juga para sekularis yang enggan berpolitik mengikut panduan wahyu, tetapi mereka gembar mencedok teori-teori politik Barat. Adakah pemikir-pemikir Barat itu sentiasa betul dan tidak melakukan kesilapan?
Andai kata teori mereka itu sesuai dengan Barat, belum tentu sesuai dengan Malaysia. Andai kata teori mereka itu sesuai pada zaman itu, belum tentu sesuai dengan zaman sekarang. Jadi, apa logiknya untuk import pemikiran Barat untuk diserapkan di Malaysia?
Ideologi perjuangan DAP datang dari Barat
Selain Sekularisme, ideologi yang diperjuangkan oleh DAP ialah demokrasi sosial sejak 2006 [10]. Ideologi ini dikatakan memperjuangkan kesaksamaan peluang, kesamarataan, kebebasan dan keadilan. Lim Guan Eng Pengerusi DAP menyatakan;
“Kebenaran, keadilan dan kebebasan bukan sekadar kata-kata tetapi prinsip teras yang mesti ditegakkan untuk memastikan kemakmuran untuk semua.” [11]
Antara yang menjadi persoalan ialah, apakah yang dimaksudkan kebenaran, keadilan dan kebebasan menurut pandangan mereka? Apakah takrifan yang digunakan itu betul, bertepatan dan bersesuaian dengan Malaysia? Atau ia hanya sekadar andaian akal mereka sendiri?
Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor menceritakan mengenai asal-usul demokrasi sosial yang menjadi pegangan DAP;
Sistem Komunis Soviet pada masa itu menggalakkan perdagangan dan keusahawanan untuk membolehkan Rusia membangun ekonomi yang telah pincang. Tujuannya ialah merapatkan jurang di antara miskin dan kaya. Walaupun sistem itu kemudian diubah kembali kepada kuasa penuh kerajaan Komunis di bawah rejim Stalin, idea dasar itu menjadi popular di kalangan kiri sederhana di Eropah dan Amerika Utara. Ia dilihat sebagai jalan keluar dari pertikaian sistem kapitalis dan Komunis, jalan tengah memenuhi keperluan majoriti rakyat. Dasar itu adalah satu daripada tonggak utama demokrasi sosial. [12]
Demokrasi sosial yang dibawa oleh DAP lahir daripada idea orang-orang Barat yang mana mereka ketika itu sedang membina jalan keluar antara pertembungan sistem kapitalis dan Komunis.
Justeru, yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah kewajaran idea tersebut diimport masuk ke Malaysia? Bagaimanakah idea tersebut boleh dibuktikan sesuai di Malaysia?
MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 2/1/2024
Rujukan:
[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1193651/lantik-pakar-bukan-islam-bantu-jk-kaji-kompetensi-dun-gubal-undang
[2] https://malaysiatribune.news/2023/06/11/pemuda-umno-beri-amaran-kepada-ahli-parlimen-dap/
[3] https://malaysiagazette.com/2023/10/06/koo-ham-mahu-kerajaan-padam-islam-pada-kad-pengenalan-137-orang-asli/
[4] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/12/1045639/ngeh-mohon-maaf-tarik-semula-cadangan-lantik-pakar-bukan-islam
[5] https://selangorkini.my/2023/12/selaku-pengerusi-mki-sultan-selangor-titah-jangan-campur-urusan-islam/
[6] Loke Siew Fook, Vincent Wu, Hew Kuan Yau dan Wong Shu Qi, Mengenali DAP. Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Politik Parti Tindakan Rakyat (2010)
[7] https://dapmalaysia.org/syahredzan-johan-dap-islam-sekularisme/
[8] https://dapmalaysia.org/english/2012/aug12/lks/lks6304.htm
[9] https://www.roketkini.com/2017/05/16/prinsip-sekular-dalam-perlembagaan-persekutuan-jadi-pegangan-dap/
[10] https://dapmalaysia.org/parti/parti/
[11] https://dapmalaysia.org/hak-asasi-manusia/
[12] https://dapmalaysia.org/apa-itu-demokrasi-sosial/
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!