16 PATI ditahan Op Ambang Tahun Baru 2024

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 16 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Ambang Tahun Baru 2024 di sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan polis di Gua Musang, dekat sini semalam.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis negeri Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesemua PATI ditahan hasil pemeriksaan ke atas lima bas yang melalui SJR berkenaan.

Katanya daripada jumlah yang ditahan tersebut 15 orang daripadanya merupakan lelaki dan seorang wanita.

“PATI terbabit dari negara Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan India.

“Pemeriksaan mendapati 11 daripada mereka memiliki pasport yang tamat tempoh. Lima lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada kenyataan malam tadi.

Sekatan jalanraya itu diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Bersepadu Op Ambang Tahun Baru 2024.

Ia diadakan serentak di 17 lokasi melibatkan semua daerah di Kelantan dengan kekuatan seramai 33 pegawai dan 206 anggota PDRM dan JPJ.

Mohd Ali juga berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut.

Beliau juga memberitahu sebanyak 453 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut.

Katanya, sebanyak 190 saman dikeluarkan ke atas pemilik kereta, motosikal (213), lori (28), MPV (20) dan pacuan empat roda (2).

“Selain itu JPJ turut mengeluarkan 306 saman melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan lesen vokasional dan kesalahan cermin sisi,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2024