Sekolah terbabit PPS boleh laksana PdPR

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelajar yang terkesan akibat banjir di Kelantan dibenarkan memakai pakaian baju biasa ke sekolah pada sesi yang bermula esok.

- Advertisement -

Pengarah Pendidikan Kelantan, Dato’ Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan akan berusaha untuk meringankan beban mereka.

Katanya, pelajar yang terjejas akibat banjir dibenarkan memakai pakaian biasa pada sesi persekolahan bermula esok.

“Kita sedar ibu bapa dan keluarga terlibat mengalami banyak kerugian akibat banjir. Dan dengan cara ini diharap dapat meringankan beban mereka.

Kita juga akan cuba untuk dapatkan bantuan untuk pelajar yang terjejas akibat banjir,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, setakat ini masih terdapat dua lagi sekolah yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh.

Oleh itu kata beliau sekolah terbabit boleh menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“JPN memberi kebenaran kepada sekolah terbabit sekiranya mahu mengadakan pembelajaran secara PdPR,” katanya.

Menurutnya juga pihak mengalami kerugian kira-kira RM328,700 akibat kerosakan peralatan sekolah kesan daripada banjir di Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat. – HARAKAHDAILY 1/1/2024

- Advertisement -