
TEHRAN: “Peranan United Kingdom telah terbukti dalam jenayah perang Israel, pembunuhan beramai-ramai atau genosid terhadap rakyat Palestin.”
Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata demikian kepada Setiausaha Luar Britain, David Cameron dalam perbualan telefon pada Ahad (31 Dis).
“Krisis Palestin berpunca daripada peristiwa 7 Oktober 2023 adalah berakar umbi dalam 75 tahun pendudukan oleh rejim Israel, pelanggaran hak asasi rakyat Palestin yang berterusan, melakukan jenayah perang di Palestin dan pembunuhan beramai-ramai terhadap negara yang tidak bersalah ini, dan sudah tentu, peranan UK jelas dalam isu-isu ini,” katanya lapor MNA.
Diplomat tertinggi Iran itu juga menegaskan bahawa negaranya menganggap Hamas sebagai gerakan mencari kebebasan, yang telah menentang penjajahan dan apartheid, dan mengutuk negara Barat tertentu kerana berdiam diri mengenai jenayah Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Amir-Abdollahian juga mengecam apa yang disebutnya ‘pilih kasih’ oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat terhadap peperangan di Gaza berbanding Ukraine.
“Adalah tidak wajar rejim Israel dibenarkan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas wanita dan kanak-kanak di Gaza’ dan menimbulkan ketegangan di rantau ini, tetapi menghentikan kapal Zionis di Laut Merah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan laluan air ekonomi ini,” tegasnya.
Mengenai ancaman terhadap Republik Islam itu, beliau menyatakan bahawa negaranya pasti akan memberikan tindak balas yang kuat terhadap sebarang tindakan pencerobohan dan serangan oleh Israel, yang akan membuat rejim itu menyesali tindakannya.
Setiausaha luar Britain itu dalam hujahannya pula menghuraikan pendirian negaranya mengenai perkembangan berterusan di Gaza dan Laut Merah, dan menggesa usahaIran untuk membantu menghentikan limpahan perang dan memastikan keselamatan pelayaran di perairan yang dikuasai pejuang Houthi Yaman itu.
Selain perang Gaza, kedua-dua diplomat itu turut membincangkan isu-isu kepentingan bersama dan menekankan kepentingan rundingan berterusan berhubung isu tersebut. – HARAKAHDAILY 1/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!