
MELAKA: Tokoh usahawan yang juga pengedar akhbar Harakah di Melaka, Mohd Salleh M. Haniff atau lebih dikenali dengan nama Habib Salleh meninggal dunia, di sini, pagi tadi.
Salah seorang anak Allahyarham, Husin Mohd Salleh berkata, bapanya itu telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.55 pagi di Hospital Melaka.
Menurutnya, punca kematian bapanya adalah disebabkan pelbagai komplikasi akibat satu kemalangan yang dialami pada Mei tahun lalu.
“Ayah saya kemalangan bulan Mei tahun lalu, patah kaki kanan dan luka-luka di badan. Kesan dari (kemalangan) itu ada jangkitan di kaki. Selepas tujuh bulan dirawat, doktor terpaksa potong (kaki) disebabkan kuman yang merebak.
“Kuman dari kaki dah merebak ke paru-paru. Malam tadi jantung terhenti 10 minit. Hidup kembali guna alat bantuan pernafasan (CPR). Kata doktor keadaan ayah kritikal,” katanya.

Tambah Husin, bapanya itu kemudiannya ditidurkan, dimasukkan oksigen dan dipindahkan ke wad kecemasan (ICU) akibat keadaannya yang semakin kritikal.
“Pagi jam 9.55 pagi ayah disahkan meninggal di hadapan kami (keluarga) semua,” kongsinya kepada HarakahDaily.
Allahyarham Habib, 63, seorang usahawan berjaya memiliki rangkaian pasar mini di sekitar Melaka merupakan pengedar utama Harakah di negeri ini selain memegang jawatan sebagai Timbalan Bendahari PAS Kawasan Kota Melaka.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rahmah Aziz, 58, 13 orang anak dan 25 orang cucu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Muhamat Puhat Bedol hadir mewakili Pesuruhjaya, Tuan Guru Zulkifli Ismail bagi memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh, Setiausaha PAS Kawasan Kota, Zuhaidi Yusof.
Jenazah telah disolatkan di Surau Ahmad Khan, Kampung Ketapang dengan diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Rahman Jaafar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pernu pada 5.30 petang tadi. – HARAKAHDAILY 1/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!