Sasaran dakwah PAS kepada semua golongan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tidak semua didekati melalui kuliah agama sebaliknya ada juga melalui sukan, hiburan dan media sosial.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, setiap sasaran dakwah mempunyai pendekatan dan cara yang berbeza.

“Sasaran dakwah PAS kepada semua golongan. Ada yang didekati melalui kuliah-kuliah ilmu tetapi ada yang di padang bola, stadium serta ruang-ruang di media sosial,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan penutup pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, petang semalam.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Liqa Fikri Peringkat Negeri Kedah diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Kertas kerja ucapan dasar terbabit dikupas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Hanif Ghazali.

Katanya lagi, sikap menegur pemimpin menunjukkan keprihatinan ahli kepada parti dan budaya yang sangat baik.

Akan tetapi ujar Ahmad, setiap yang berlaku perlu dilihat dari pelbagai sudut, tidak menyalahi syarak serta tidak menimbul fitnah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan serta pertanyaan para peserta program, berkenaan isu yang tular mengaitkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berkaraoke di TikTok hingga lewat pagi.

Kata Pesuruhjaya PAS Kedah itu lagi, pihak lawan hanya melihat PAS sebagai parti dari sudut agama sahaja sedangkan PAS juga ada tanggungjawab untuk mendekati bukan dari golongan agama.

“Mungkin nampak kurang selesa atau kurang sesuai tetapi yang hebatnya setiap kali MB ‘live’ di TikTok, isterinya akan ada di sebelahnya.

“Tengok di TikTok tu, nampak dua sahaja (MB dan host wanita) tapi isterinya ada bersama.

“Tapi tak apa, PAS akan urus hal ini tetapi dalam masa yang sama pandangan Sanusi sendiri juga ada pertimbangan di pihak kita,” tambahnya.

Sanusi sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan membidas kritikan terhadapnya.

Kata beliau, tiada tegahan dari sudut syarak untuk orang lelaki menyanyi, malah beliau tidak berkaraoke secara berduet dengan mana-mana wanita.

Dalam pada itu katanya perkara itu sengaja ditimbulkan untuk menutup isu ucapan Perdana Menteri berkenaan Pemuda Al-Kahfi. – HARAKAHDAILY 30/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!