KUALA LUMPUR: Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menyifatkan kerajaan pada ketika ini penuh dengan kejutan dan berpandangan akan ada kejutan demi kejutan bakal terjadi.
“Kalau sudah berkuasa, semua boleh diubah belaka. Dahulu yang tidak boleh, kini boleh sahaja. Dahulu ditolak, kini didakap tidak lepas. Dahulu berprinsip, kini menepis. Begitulah corak politik semasa di mana sahaja.
“Kurang membina. Lebih menggilakan nama dan darjah, bukan kebajikan rakyat. Asyik bersengketa, biarkan rakyat terus merana. Jemaah menteri disusun semula, namun ada yang alpa akan janji lama.
“Kononnya rasuah musuh utama perlu dibasmi. Namun, perasuah teman setia terus bersemi. Mengapa? Satu kejutan besar pastinya. Terkejut beruk apabila rasuah membentengi perpaduan.
“Selepas setahun keluh kesah dengan retorika memerangi rasuah, gelagat politik terkesan cukup sumbang memalukan. Cakap tidak serupa bikin,” bidas beliau dalam tulisan terkini yang disiarkan Utusan Malaysia.
Menurutnya, negara bertambah miskin bukan sahaja pada wang Ringgit, tetapi juga budi bicara di mana etika dan moral hanya tersadai di bibir dan tidak pada perlakuan, baik di Parlimen sekali pun.
“Ada yang meniti prestasi yang tidak berkehasilan. Tetapi tanpa segan silu dikekalkan dalam jawatan! Bakal pemegang tampuk lebih selesa,” bentaknya merujuk langsung kepada rombakan Kabinet baru-baru ini.
Kata beliau, seorang daripada Menteri itu berada dalam Kabinet bagi penggal kedua dalam jawatan sama, di mana sedang tangkas mengatur langkah dengan berjaya, tetapi tiba-tiba ditukarkan.
“Padahnya amat ketara – buang masa, tenaga dan sumber. Mengapa faktor-faktor ini tidak diambil kira? Lagipun mengapa Menteri terlibat turut terkejut – membayangkan tidak ada proses rujukan sama sekali bagi sebuah parti demokratik.
“Apatah lagi musyawarah untuk mendapatkan yang terbaik untuk bukan hanya parti, tetapi rakyat yang sedang tertanya-tanya ke mana semua ini? Jika tiada rundingan telus, terbuka, sudah tentu satu lagi kejutan tidak terkira!
“Di mana letaknya tuntutan proses demokrasi berunding mesra? Mengapa alpa, memandangkan pelantikan para Menteri bukan bak mainan kerusi pusingan berirama? Mengikut seronok sahaja tanpa keazaman nyata.
“Sedangkan yang kurang berprestasi tidak dipindahkan, apa pula muslihat politik dalaman sebaliknya bagi yang berprestasi sehingga turut terasa terkejut? Natijah kepada semua ini, rakyat membenci kerana kejutan tidak akan membawa kepada kekal abadi.
“Dihantui oleh kesementaraan tanpa kepastian, malah kepura-puraan berlebihan! Akal budi turut dijual beli, hati nurani dinodai,” tempelak beliau yang ternyata sangat tidak senang dengan perkembangan tersebut.
Tambah Tan Sri Dzulkifli lagi, jalan keluar bermuafakat turut tersekat-sekat apatah lagi ada yang bersiap-sedia menangguk di air keruh, namun hal tersebut tidak perlu dirasa terkejut kerana terlalu sering berlaku dalam agenda sempit politik tanah air.
Beliau malah membayangkan dalam tulisannya itu sesuatu kegemparan politik di luar jangka banyak pihak akan terus berlaku dengan situasi dan perangai yang wujud dalam pemerintahan ketika ini.
“Khabarnya sekarang pun ada yang meramalkan beberapa peristiwa bakal membingitkan, selagi kematangan politik masih pada takuk serang-menyerang satu sama lain atas asas kejutan demi kejutan, wajar atau tidak.
“Maka selagi tiada keyakinan diri dan masyarakat bersatu padu secara mutlak daripada rasa tanggungjawab jati yang jujur, ikhlas lagi murni, selagi itulah kejutan menjadi alat kerakusan politik muflis,” ujarnya.
Catatan penuh sinikal beliau itu turut dicoretkan dengan kekesalan yang dinyatakan bahawa ada pihak menang melalui kejutan tetapi tidak adil sama sekali, bahkan berdusta dan berdosa!
“’Kemenangan’ tidak diberkati sepertimana banyak berlaku dalam media sosial yang memperalat berita atau fakta palsu untuk memfitnah. Khususnya dalam politik, kejutan sering dianggap senjata rahsia melumpuhkan musuh.
“Lebih gegak gempita, lebih berbisa untuk menekan lawan. Lebih raksasa, lebih hebat. Sama ada dapat dikotakan atau tidak, tidak mengapa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!