KUANTAN: PAS Pahang membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham susulan kenyataannya berhubung kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan menegaskan kenyataan Ngeh Koo Ham itu merupakan kali ketiga yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Beliau berharap umat Islam seluruh negara perlu menunjukkan bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang mewakili kumpulan Melayu Islam.
“Kami mohon kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini seadilnya. Kami menegaskan tidak perlu untuk dipanaskan lagi hubungan antara kaum di negara ini.
“Hubungan di antara kaum selama ini sudah cukup baik. Kita hanya perlu menjaga apa yang telah sedia ada dalam Perlembagaan,” katanya pada sesi sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah di sini, petang tadi.
Beliau menegaskan PAS konsisten memperjuangkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan terutama institut Raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.
“Semoga dengan laporan ini ada tindakan yang adil daripada pihak berkuasa supaya ia menjadi pengajaran kepada kaum lain tidak mencampuri urusan agama orang Melayu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!