
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS akan menyokong sebarang himpunan aktiviti yang dianjurkan berkenaan isu Palestin selagi ia dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, pada minggu ini, piket Aksi Solidariti Kepung Demi Palestin telah dilaksanakan oleh Sekreteriat Solidariti Palestin (SPP) di sekitar Kuala Lumpur, yang mana Pemuda PAS telah diundang untuk bersama menyertainya dan menyatakan sokongan terhadap pembelaan rakyat Palestin.
“Saya telah menghadiri piket ini atas pendirian bahawa Pemuda PAS akan menyokong mana-mana badan NGO, NGI dan pertubuhan yang lantang membela nasib rakyat Palestin.
“Secara khususnya, penyertaan wakil Pemuda PAS dalam piket ini adalah untuk menyokong usaha menyatakan bantahan terhadap Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa veto untuk berkecuali dalam pelaksanaan gencatan senjata,” katanya.
Menurutnya, untuk makluman umum, tiada sebarang kerahan dibuat untuk himpunan tersebut kerana Pemuda PAS sedang memberi tumpuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu yang sedang memerlukan bantuan tenaga, wang ringgit dan keperluan-keperluan asas.
“Dalam pada itu, Pemuda PAS ingin mengingatkan bahawa isu Palestin perlu dilihat sebagai isu bersama. Jangan ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu Palestin untuk naratif perkauman sehingga menggugat perpaduan masyarakat.
“Pemuda PAS mendoakan semoga Allah memberkati sebarang usaha yang digerakkan oleh mana-mana entiti dalam isu pembebasan Palestin oleh rejim Zionis,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!