Taman Agrovet Perlis gamit nostalgia era 80-an, 90-an

Kanak-kanak merasai pengalaman memberi makanan kepada burung unta.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Haiwan ruminan seperti lembu, kerbau, ayam dan itik menjadi mainan kanak-kanak zaman 80-an dan 90-an dahulu.

- Advertisement -

Tetapi kini, kanak-kanak sudah tidak lagi berkesempatan merasai zaman tersebut dek kerana peredaran perkembangan dan kepesatan kehidupan ketika ini.

Justeru, ramai ibu bapa mengambil peluang sempena cuti sekolah bagi membawa anak-anak melihat sendiri haiwan ruminan yang disajikan di Taman Agrovet di sini.

Terdapat 14 spesies haiwan seperti lembu, kerbau, ayam kampung, burung merak, burung unta, rusa, kuda padi, kuda bonsai, kambing kampung, biri-biri, burung merpati, kura-kura, landak raya dan arnab dihimpunkan di lokasi berkenaan.

Pengunjung hanya dikenakan bayaran serendah RM2 bagi dewasa, RM1 (kanak-kanak dan warga emas), RM5 (bukan warganegara), percuma untuk orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Pengerusi Jawatanuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Wan Badariah Wan Saad berkata, kadar bayaran yang dikenakan sangat rendah berbanding pengalaman yang bakal mereka rasai.

“Kadar bayaran yang dikenakan amat rendah dan tidak membebankan pengunjung. Sedikit sebanyak ia menyumbang kepada sumber ekonomi kerajaan negeri,” katanya di sini.

Dalam pada itu beliau difahamkan, ramai pengunjung yang hadir ke Taman Agrovet membeli daging rusa sebagai buah tangan pulang ke kediaman masing-masing.

Pusat rekreasi yang diuruskan oleh Jabatan Veterinar negeri itu juga memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman memberi makanan kepada haiwan di situ.

Perkhidmatan kereta kuda, motor dan basikal elektrik juga disediakan untuk pengunjung mengelilingi taman tersebut. – HARAKAHDAILY 26/12/2023

- Advertisement -