DUA tahun lepas program mega Profesor Ustaz Dr Abdul Somad dan tokoh anak negeri ini, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjadi bualan warga maya kerana melimpah ruah lautan manusia. Tak peduli dengan curahan hujan dan kemacetan tahap ekstrem, berdesakan manusia tetap mengerumuni Dataran Drawbridge.
Program mega dengan kehadiran 70,000 warga negeri Terengganu berlangsung dalam euforia tengkujuh dengan para nelayan berehat di rumah serta penoreh getah bercuti seketika. Tikaman air hujan yang turun saat program berlangsung tidak menjadi halangan kepada khalayak yang hadir, terpaku dan tak berkutik untuk mengunyah pesan-pesan yang berharga daripada daie sejuta ummah itu. Minggu ini sempena menutup tirai 2023, kedua-dua tokoh ini akan memanaskan suhu sejuk negeri Terengganu dan Kelantan akibat tengkujuh!

Budaya mendepang telinga untuk mendengar ceramah bukan suatu yang pelik di negeri menjunjung syariat ini. Dalam dekad 1980-an, jika ceramah Tuan Guru Abdul Hadi boleh mencecah puluhan ribu khalayak, anak-anak muda peserta kebangkitan Islam seperti semut menghurung gula. Anak muda berlilit serban, sejauh Kemaman dan Besut akan membonceng motosikal ke lokasi ceramah Ayah Chik di Rusila atau Chendering. Kehebatan Ayah Chik sebagai ulama muda saat itu sehingga menghiasi muka depan majalah Asiaweek. Masjid Rusila pernah menghimpunkan lebih 100,000 pendengar saat Ijtimak Alami berlangsung pada tahun 1988.
Orang Terengganu mempunyai budaya ilmu dalam kelasnya yang tersendiri. Diakui oleh ramai sejarawan dan pengkaji, contohnya Munshi Abdullah pernah merakamkan budaya beragama orang Terengganu semasa beliau singgah di Terengganu dalam abad ke 19. Zaman milineal menyaksikan seorang pendakwah anak Terengganu yang unik, dengan multi bakat dan disokong oleh anak-anak muda, Ustaz Azhar Idrus menjadi ikon dakwah yang menarik masyarakat untuk hidup beragama.
Tiga hari ini reputasi, nama baik, harkat sosialnya diserang begitu dahsyat oleh penyokong kerajaan Madani termasuk cytro yang bergaji. Pembunuhan karektor seperti mempertikaikan kelayakan akademik, latarbelakang silam pendakwah ini, sehingga wilayah privasi dikorek dan disebarkan dengan tujuan meremehkan daie sejuta ummah ini.
Hujung dekad 90-an sang daie mula dikenali lewat sebaran CD-CD seterusnya kemajuan internet melonjakkan UAI di era milineal. Curahan ilmu agamanya melalui wahana ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan anak muda, sembang santai bersama anak seni adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Namanya mula meledak ke luar Terengganu dan menjadi tarikan pesona kepada masjid, pondok, maahad tahfiz, kolej Islam, bahkan NGO Islam menggunakan program khas beliau untuk mengumpulkan dana. Tiada takrif khas untuk menjemput beliau menyampaikan ilmu, jemputlah ke pedalaman atau kawasan bandar, anak anggota tentera ini hadir dengan senyuman khasnya.
Ribuan penuntut ilmu akan berkumpul setiap kali UAI dijadualkan memberikan kuliah, termasuk berhimpun di Masjid Kampung Rusila yang fenomenal, Masjid Pengadang Baru, Masjid Taqwa Batu Enam, Medan Ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi kuliah lelaki beristeri tiga itu. Karektornya yang mudah didekati, menggunakan laras bahasa masyarakat awam yang mudah dihadam, mengajar pengajian fardu ain yang sangat diperlukan anak-anak muda yang dahagakan ilmu. Sesi kuliah UAI biasanya berlangsung selama dua jam termasuk sesi soal jawab, beliau memperuntukkan masa melayan peminat bergambar, mentahnik bayi, beramah mesra dengan anak muda termasuk yang datang mengaji dengan gaya bohemian!
Pengkuliah yang tersohor juga di Indonesia dan Thailand ini diiktiraf oleh ramai ilmuan seperti Sheikh Dr Ali as Shobuni (ulama Syria) Baba Eil Sepanjang al Fathoni, Prof Dr Abdul Somad dan lain-lain. Bukan sahaja menguasai kitab thurath, mantan pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman (SMSS) ini juga tersohor menguasai bidang seni, budaya, pemotoran, fotografi, dunia anak muda yang rencam. Maka tak pelik jika rakyat Terengganu ini meminati sang pencerah berjanggut panjang yang akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.
UAI antara sosok yang menyumbang dalam kegiatan jihad pendidikan di Terengganu dalam fasa milineal, membantu juga penyuburan fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan di musim hujan. Tak lokek ilmu dan masa peribadi bila diajak melancarkan dana sekolah-sekolah agama. Besar sumbangan UAI di Terengganu terutamanya pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram.
Masjid di seluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah. Ini digalakkan oleh kerajaan PAS Terengganu, juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.
Untuk pembenci-pembenci UAI, ‘demo tak kenal barey’, berpadalah mengecam UAI kerana ketaksuban kepada PMX. Moga Allah merahmati figura dakwah ini, diberikan kesihatan yang baik untuk terus memandaikan umat. – HARAKAHDAILY 25/12/2023
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK BPP Terengganu.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!