KEPADA yang meminati filem tentulah akan mengingati babak-babak ikonik Maggie Cheung dalam filem ‘In The Mood For Love‘ yang dikatakan berjaya mengangkat busana Cheongsam ke mata dunia, dengan corak dan warna yang memukau. Hal yang sama tentunya cuba dibuat oleh drama bersiri, ‘Gadis Kretek’ yang mengangkat puluhan busana Kebaya dengan rekaan baju dan kain yang menambat hati. Walaupun cuba mengambil rujukan tahun 60-an, latar tahun kisah ‘Gadis Kretek’, namun pereka busana dan kostum drama tersebut mengaku agak terbuka dalam beberapa aspek termasuk dalam penggunaan kain batik Parang yang lazimnya digunakan kaum lelaki ketika itu.
Sebagai tenaga produksi filem, tentunya pereka itu faham, filem seperti juga karya seni lain, bukanlah sebuah naskah sejarah. Ia mungkin mempunyai rujukan sejarah tetapi hanyalah sekadar fiksyen. Perkara inilah yang ditegaskan oleh penerbit filem epik sejarah terbaru yang bakal ditayangkan pada Januari tahun depan, bahawa hanya rangka cerita filem ‘Pendekar Awang-Darah Indera Gajah’ mempunyai rujukan sejarah selebihnya adalah karya fiksyen. Semoga pihak yang melabel karya tersebut cuba melakukan Arabisasi ke atas orang Melayu hanya dengan melihat poster yang diedar terlebih awal sehingga mengeluarkan kata-kata yang sangat tidak Melayu boleh berpuas hati dengan pengakuan penerbit.
Kenapakah pula sebuah karya fiksyen yang mengetengahkan pendekar-pendekar wanita Melayu menutup aurat lengkap dengan busana Perang dan busur panah menjadi masalah kepada sesetengah pihak? Pemikiran bahawa filem period Melayu harus sarat dengan imej wanita berkemban sahaja sebenarnya bukan berlandaskan fakta sejarah.
Filem ‘Pendekar Awang-Darah Indera Gajah’ mendapat perhatian meluas kerana ianya merupakan prekuel kepada filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ keluaran penerbit yang sama, yang menjadi fenomena dengan kutipan Box Office menghampiri RM100 juta, kali pertama untuk filem Malaysia. Filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ juga bukanlah sebuah dokumentari mengenai kehidupan pejuang Melayu tersohor Mat Kilau. Ianya juga bukan sebuah rancangan TV realiti. Bukan juga sebuah biografi, jauh sekali autobiografi susuk tersebut.
Dan sebagai pemerhati dan pengamal media, penulis sedar bahawa sesuatu berita sekalipun mempunyai nada dan acuan ianya boleh disampaikan dengan menggunakan ayat-ayat tertentu untuk memperkuat atau melemahkan sesuatu naratif atau perkara.
Di Amerika Syarikat, pendatang asing contohnya digelar pihak Republikan sebagai ‘Illegal Aliens’ dan pihak Demokrat pula menggelar kumpulan yang sama sebagai ‘Undocumented Migrants’.
Lihat saja isu pengeboman Gaza di corong-corong berita seluruh dunia. Bergantung kepada pendirian pentadbiran negara ianya dilaporkan, terdapat dua dikotomi yang jelas sama ada mereka menyokong Israel atau sebaliknya. Media-media utama Amerika Syarikat dan Eropah akan melaporkan dengan kaca mata rejim Zionis. Al-Jazeera pula yang berpangkalan di Qatar merupakan satu-satunya media yang melaporkan terus daripada Gaza, Palestin dan satu-satunya media dengan cakupan meluas yang sangat kritikal terhadap keganasan rejim penjajah Israel.
Persoalannya di Zaman Fitan, khasnya dengan kemajuan teknologi ‘deep fake’ dan AI, bagaimanakah kita mampu mengetahui jika sesuatu itu benar atau palsu. Siapakah yang benar contohnya, seorang ‘Wahab’ atau seorang ‘Agus’?!
Penulis buku ‘The Racial Muslim’, Sahar Aziz menegaskan bahawa semangat Islamophobia dan tuduhan Anti-Semitik digunakan Israel dan pendukungnya untuk mengabsahkan jenayah genosid yang berlaku di Gaza. Tambah beliau naratif Israel sebagai pangkalan ketamadunan budaya terakhir ‘White America and Europe’, di tengah-tengah Arab atau Palestin dilihat sebagai pertembungan ketamadunan yang telah wujud sebelum era kolonialisme antara dunia ‘Kristian Barat’ dan dunia ‘Muslim Timur’.
Inilah juga tentunya konflik sebenar yang masih membelenggu Piers Morgan yang masih berpandangan bahawa rejim Zionis kononnya berhak mengebom Gaza sebagai tindak balas kepada ‘pencerobohan’ HAMAS.
Tentunya juga kita masih ingat akan terma ‘human animals’ yang digunakan pengganas perang Yoav Gallant dengan laungan ‘complete siege’ ke atas Gaza. Terkini hampir 20,000 warga Palestin telah disembelih rejim Zionis dan lapan ribu daripada jumlah tersebut adalah kanak-kanak dan bayi. Committee to Protect Journalists (CPJ) pula, hari ini melaporkan terkini seramai 64 wartawan dan pengamal media terbunuh dan International Federation of Journalists (IFJ) pula melaporkan 72 peratus kematian wartawan bagi tahun 2023 adalah dari Gaza. Al Jazeera juga melaporkan kapsul mempersoalkan tindakan Israel yang dituduh dengan sengaja mensasarkan wartawan, khasnya badan penyiar itu. Malah meletakkan angka korban jauh lebih tinggi.
Penting untuk kita ingat bahawa pada Mei 2021 pejabat Al Jazeera dibom rejim Israel dan setahun selepas itu, wartawan mereka, Shireen Abu Akleh ditembak di kepala ketika sedang melaporkan serangan ketenteraan rejim ke atas khemah pelarian di Jenin, Tebing Barat. Tiga hari lepas pula seorang jurukamera mereka pula terbunuh oleh serangan dron, juga semasa membuat liputan. Semua ini ‘dihalalkan’ Israel dan pemimpin-pemimpin Barat dengan menafikan jumlah kematian yang walaupun telah diperakui pihak ketiga sebagai dakyah HAMAS semata-mata!
Taghreed El Khodary, mantan koresponden New York Times, asal Gaza baru-baru ini dalam Doha Forum bercakap mengenai pendekatan rasis dan laporan berat sebelah pengamal-pengamal media Barat yang memanusiakan naratif Israel namun tidak mengambil pendekatan yang sama terhadap kisah warga Gaza. Komentar ‘Unchild’ kanak-kanak Gaza pula dikatakan penyebab dunia seperti bebal dengan nasib yang melanda mereka. Kita jangan pernah lupa dengan kenyataan sedih menangisi konflik Ukraine apabila melihat “European people with blue eyes and blonde hair being killed everyday”.
Kelmarin setelah dua penganut Kristian Palestin dibunuh secara kejam tentera rejim ketika berlindung di sebuah gereja berjaya membuatkan Pope di Vatican City sekali lagi mengeluarkan kenyataan menghentam serangan itu sebagai tindakan keganasan setelah lebih dua bulan Gaza dihujani bom. Pihak keluarga mangsa pula dilaporkan akan menjadi saksi kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Namun salah seorang peguam Triestino Mariiniello mengatakan pihak pendakwaraya ICC dikatakan masih belum berjumpa dengan mangsa-mangsa Gaza walaupun telah berbuat demikian di Israel dan mengeluarkan kenyataan terhadap ‘serangan’ pada 7 Oktober. The Times of Israel ada mengesahkan bahawa Ketua Pendakwaraya ICC hanya berjumpa dengan Mahmood Abas sahaja di Palestin.
Perang label dan naratif dalam membentuk persepsi dan lobi dalam memperjuangkan sesuatu agenda sudah menjadi kelaziman di era ‘teknologi maklumat’ dan hal yang sama pernah digunakan pihak-pihak di Malaysia yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 suatu ketika dulu seperti yang disinggung dalam esei ‘Gerakan Hapus Akta Hasutan: Menang Label, Negara Tergadai!’ dalam buku ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ karya penulis.
Tentu juga kita masih ingat, pelakuan keganasan jika ianya membabitkan orang Islam akan dilabel sebagai ‘Muslim Terrorist’ dan jika tidak sekadar penyerang atau pembunuh ‘Lone Wolf’!
Faham itu, tentu kita tidak akan melatah teruk apabila karya fiksyen seperti sebuah medium filem cuba berkreativiti!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 20/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!