KUALA LUMPUR: Bintang legenda tanah air, Datuk M Daud Kilau yang telah meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak pada jam 4.40 petang tadi dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak selepas Zohor pada esok.
Berita kematian beliau pada usia 85 tahun telah disampaikan oleh anaknya, Ahmad Zain kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT); yang turut dikongsikan oleh cucunya, Hasnor Ikram melalui Instagram Story (IGs).
“Datuk saya, Mohd Daud Kilau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar tadi…Al-Fatihah,” kongsi Hasnor dalam IGs miliknya.
Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia itu pernah menjalankan rawatan pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) dua tahun yang lalu.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak mula mencipta nama selepas menjadi juara Bintang Radio di Singapura pada 1968 ini cukup popular dengan lagu-lagu malar segarnya seperti Cik Mek Molek, Gila Judi dan Joget Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!