Abang tawanan Hamas tuduh tentera Israel bunuh adiknya

Ahli keluarga dan sahabat handai meratapi kematian Alon Lulu Shamriz dalam upacara pengebumiannya di Shefayim, Israel pada 17 Disember 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

SHEFAYIM, Israel: Seorang tebusan Israel yang tersilap dibunuh oleh tentera Zionis Israel di Semenanjung Gaza telah dikebumikan pada Ahad, dengan abangnya menuduh tentera telah ‘meninggalkan’  dan ‘membunuh’ adiknya itu.

Alon Lulu Shamriz, 26, adalah salah seorang daripada tiga tebusan Israel yang ditembak mati oleh tentera Zionis pada Jumaat (15 Dis) lalu dalam pertempuran Hamas-Israel di daerah Shejaiya di kota Gaza, walaupun ketiga-tiga mereka membawa bendera putih dan menangis meminta pertolongan dalam bahasa Ibrani.

Kenyataan tentera Israel sebelum ini berkata, ketiga-tiga Shamriz, Yotam Haim dan Samer El-Talalqa terbunuh apabila tentera Zionis menyangka mereka sebagai ancaman sebelum  melepaskan tembakan.

- Advertisement -

“Pihak yang meninggalkan anda juga membunuh anda selepas semua yang anda lakukan dengan betul,” luah Ido, abang kepada Shamriz ketika pengebumian yang dihadiri oleh berpuluh-puluh saudara dan ahli keluarga di utara Tel Aviv.

“Kamu selamat 70 hari berada di neraka (dalam tawanan pejuang Hamas di Gaza). Cuma seketika sahaja lagi (sebelum ditembak tentera Israel) kamu akan berada dalam pelukan ku,” tutur  ibu Shamriz, Dikla, dalam ucapannya dalam pengebumian anaknya itu. 

Media Israel melaporkan Talalqa telah dikebumikan pada  Sabtu (16 Dis), manakala pengebumian Haim dijadualkan pada hari ini, Isnin (18 Dis).

Kematian tiga lelaki itu, semuanya berusia dalam lingkungan dua puluhan, justeru telah mencetuskan protes di Tel Aviv, menyaksikan  penunjuk perasaan menuntut pihak berkuasa menawarkan rancangan baharu untuk membawa pulang baki 129 tebusan yang masih ditahan di Semenanjung Gaza.

Tiga tawanan pejuang Hamas, (dari kiri), Alon Shamriz, Samer Al-Talalka dan Yotam Haim maut ditembak tentera Zionis Israel di Shejaiya, dalam kota Gaza pada Jumaat,15 Dis 2023. (FOTO: AP)

Pada hari Ahad (17 Dis) jurucakap tentera Israel, Richard Hecht berkata, kematian ketiga-tiga warga Israel itu sedang disiasat dan dia melabelkan apa yang tentera lakukan itu  adalah ‘melanggar peraturan perjanjian’.

Lewat Ahad, dalam satu kenyataan ringkas, pihak tentera Zionis berkata, pemeriksaan di sebuah bangunan bersebelahan dengan tempat kejadian  mendapati papan tanda meminta bantuan.

Tanda-tanda itu dibuat menggunakan ‘sisa makanan’.

“Berdasarkan siasatan lapangan, nampaknya ketiga-tiga tebusan itu berada di dalam bangunan di mana papan tanda itu diletakkan untuk beberapa tempoh masa,” kata tentera.

Gambar-gambar penemuan awal dari bangunan yang dikeluarkan bersama-sama dengan kenyataan itu menunjukkan tanda-tanda ‘SOS’ dan “Tolong (kami), tiga tebusan’.

Terdahulu, kira-kira 250 warga Israel dilaporkan telah ditawan apabila pejuang  Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,139 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka terkini Israel.

Bersumpah untuk memusnahkan Hamas dan membawa pulang tebusan, Israel melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza hancur. 

Kerajaan Hamas di wilayah itu berkata, serangan tentera Zionis Israel sejak 7 Okt lalu  telah membunuh sekurang-kurangnya 18,800 nyawa warga Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.  HARAKAHDAILY 18/12/2023

- Advertisement -