BETONG: 30 ahli dan sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Negeri Sarawak (JAMNS) bersama ahli Kelab Belia Kampung Pusa turun ke Masjid Rahmaniah, Kampung Pusa untuk meraikan Hari Amal untuk Kebajikan atau Amals’ Day for Charity (AD4C).
AD4C merupakan aktiviti yang menyasarkan ahli dan sukarelawan JAMNS turun ke dalam masyarakat menawarkan khidmat atau aktiviti kebajikan secara berkelompok.
Penduduk kampung dan ahli kariah Masjid Rahmaniah turut hadir bersama-sama untuk bergotong royong membersih dan menceriakan kawasan di dalam dan sekitar masjid.
“Alhamdulillah, terima kasih banyak saya ucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia Negeri Sarawak atas sumbangan kipas, gotong-royong pembersihan masjid serta aktiviti-aktiviti yang lain seperti sukaneka dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Pihak masjid sangat berbesar hati atas penganjuran program amal ini terutama aktiviti ini dianjurkan oleh orang muda-muda,” kata Pengerusi Masjid Rahmaniah, Brawi Golong.
Beliau sangat berharap, persatuan belia di situ boleh menganjurkan aktiviti seperti itu bukan sahaja di masjid tetapi di kawasan-kawasan yang lain.
“Kami sangat mengalu-alukan sebarang aktiviti yang baik apatah lagi jika program ini dibuat oleh golongan orang muda,” ujarnya.
Selain aktiviti gotong royong pembersihan masjid, beberapa aktiviti sukaneka untuk meraikan kanak-kanak yang hadir turut diadakan.
Kaunter pemeriksaan tekanan darah dan bacaan gula dalam darah juga turut dibuka kepada orang ramai. – HARAKAHDAILY 17/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!