Penggiat seni juga perlu ada tanggungjawab moral

- Advertisement -

AMEERAH Malaysia merujuk siaran drama tempatan yang ditayangkan di salah sebuah perkhidmatan penstriman video. Drama-drama tersebut menayangkan babak ‘soft porn’ lakonan pelakon muda.

Berdasarkan jumlah pelanggan berbayar platform tersebut pada 2022 sahaja mencecah 12.2 juta, maka kandungan drama yang dihidangkan untuk tontonan pengguna amat membimbangkan.

Umum mengetahui pengaruh besar dunia seni kepada golongan muda. Justeru itu, kandungan lucah mahupun separa lucah yang dinormalisasi dalam kalangan anak muda akan merosakkan generasi masa hadapan negara.

Amat menghairankan, di saat drama Korea yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia telah menyiarkan banyak drama berkualiti mengenai kerjaya yang membuka mata masyarakat seperti dunia perubatan, guaman, polis dan perniagaan. Cerita-cerita ini malah berjaya mencecah ‘box office’. Tetapi segelintir penggiat seni Malaysia masih di takuk yang sama, lebih terkebelakang apabila memilih babak lucah untuk diangkat berbanding drama yang berkualiti.

Ameerah Malaysia ingin mengingatkan semua penggiat seni bahawa kalian juga mempunyai tanggungjawab moral kepada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi penggiat seni yang beragama Islam sentiasa punya kewajipan beragama.

Jika mengejar ‘rating’ dijadikan alasan, Filem Mat Kilau yang berteraskan agama dan perjuangan kebangsaan meraih kutipan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM97 juta. 

Betapa tidak sepadannya keuntungan sedikit jika hendak dibandingkan dengan kerosakan minda dan akhlak anak muda kesan kapitalis seni yang tidak bertanggungjawab.

Ameerah Malaysia menggesa Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar bertegas dengan tapisan drama-drama seumpama ini. Cegah sebelum parah.

YB MARDHIYYAH JOHARI
Ketua Pengarah Ameerah
Dewan Muslimat PAS Malaysia
ADUN Pengkalan Kundor – HARAKAHDAILY 16/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -