TEHRAN: Presiden FIFA, Gianni Infantino percaya dasar penglibatan badan induk global itu dengan Iran berhubung layanan golongan wanita dalam bola sepak membuahkan hasil selepas sebahagiannya dibenarkan menonton perlawanan derby Tehran pada Khamis.
Pejuang hak wanita Stadium Terbuka, United for Navid dan satu lagi kumpulan bekas atlet Iran tahun lalu menggesa FIFA untuk mengharamkan Iran daripada Piala Dunia selepas 2,000 wanita yang sudah membeli tiket dihalang daripada memasuki stadium untuk menonton perlawanan kelayakan menentang Lubnan pada 29 Mac 2022.
Infantino sebaliknya memilih dasar penglibatan peribadi dengan republik Islam itu dan mengalu-alukan berita bahawa wanita Iran telah dibenarkan menyertai perlawanan Liga Pro Iran pada Khamis itu sebagai tanda kejayaannya.
“Pada September lalu, saya berbesar hati bertemu Presiden Iran, Ebrahim Raisi di New York City, di mana kami membincangkan perkembangan bola sepak wanita di negara ini dan kemajuan yang dicapai berhubung kehadiran wanita di stadium bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
“Oleh itu, dengan gembira saya mengetahui kira-kira 3,000 penonton wanita menghadiri derby Tehran antara Persepolis FC dan Esteghlal FC hari ini.
“Terima kasih kepada dialog berterusan antara FIFA dan Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran, kemajuan sedang dibuat,” ujarnya.
Di bawah usaha Infantino, sekumpulan kecil peminat wanita Iran diberikan akses ke perlawanan Persepolis pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia 2018 di Tehran.
Terdapat kemajuan yang minimum sejak itu, dengan peminat wanita dilarang daripada memasuki perlawanan kelayakan Piala Dunia Iran menentang Lubnan di Mashhad pada Mac 2022, selepas itu muncul video mengenai penyokong wanita yang disembur lada di luar stadium.
Gesaan untuk mengharamkan Iran daripada Piala Dunia datang berlatar belakangkan protes besar-besaran di seluruh negara berikutan kematian Mahsa Amini ketika dia berada dalam tahanan polis moral kerana didakwa melanggar kod pakaian Islam.
Infantino berkata, beliau akan pergi ke Iran dalam masa terdekat dan akan bertemu semula dengan Presiden Raisi untuk membincangkan lebih lanjut perkara berkaitan bola sepak.
“Iran adalah kuasa penting dalam bola sepak Asia dan adalah penting untuk kami terus memupuk hubungan kerja positif dan bermanfaat yang telah kami bina,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2023