Tanaman jagung di Perlis bantu kurang import makanan ternakan

Razali Saad
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis melaksanakan penanaman jagung bijian sejak tahun 2017 di Lembah Chuping bagi mencapai sasaran mengurangkan 30 peratus import makanan ternakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, projek itu dilaksana di bawah pengawasan Jabatan Pertanian melibatkan kawasan seluas 408 hektar.

Katanya, penanaman jagung bijian melibatkan empat syarikat, dua agensi dan enam usahawan.

“Daripada keluasan tersebut seluas 190.8 hektar sudah bertanam dan mengeluarkan hasil sebanyak 183.8 metrik tan sejak tahun 2022.

“Jabatan Pertanian menyasarkan 500 hektar tanaman jagung bijian akan dibangun menjelang tahun 2025 yang mampu menghasilkan 4,500 metrik tan jagung bijian,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PN-Guar Sanji) berkaitan usaha Perlis membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari luar negara.

Razali juga berkata, Projek Industri Makanan Ternakan akan diusahakan di tanah kerajaan negeri di Bilal Udoh seluas 7 hektar dilaksanakan Syarikat Eastern Agro & Farming Sdn Bhd.

“Syarikat terbabit akan membina pusat pemprosesan penghasilan makanan ternakan menggunakan campuran tanaman napier dan indigofera.

“Kerajaan negeri turut menerima beberapa permohonan daripada Persatuan Penternak Ruminan Negeri Perlis dan syarikat swasta bagi cadangan tanaman napier,” katanya.

Menurutnya juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut memberi pendedahan kepada penternak kaedah menanam rumput ternakan atau kekacang yang kaya dengan protein.

Katanya, projek terbabit memerlukan tanah yang luas bagi menampung keperluan makanan ternakan.

“Salah satu usaha dengan memanfaatkan tanah-tanah terbiar untuk tujuan penanaman makanan ternakan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah di Perlis.

“JPV mempergiatkan usaha untuk mengenal pasti jenis dan kualiti sumber bekalan makanan ternakan tempatan seperti rumput dan tumbuhan kekacang yang boleh digunakan sebagai sumber alternatif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!