KANGAR: Dasar Pembangunan Hartanah Negeri Perlis (DPHPs) menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada rakyat yang berkelayakan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, RMM di Perlis harga kurang daripada RM150,000 dengan keluasan 800–900 kaki persegi.
Katanya, kerajaan negeri mensyaratkan projek pembangunan di kawasan seluas lima ekar dan ke atas, pemaju perlu menyediakan RMM sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan tapak.
“Untuk pembangunan yang kurang lima ekar, pemaju diberi pilihan untuk membina RMM atau membayar levi wang gantian RMM pada kadar RM75,000 bagi seunit rumah yang tidak dibina,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Asrul Aimran berkata demikian ketika menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping).
Mengulas lanjut Asrul Aimran berkata, kerajaan negeri komited menyediakan RMM di negeri itu menerusi beberapa usaha yang dijalankan.
“Antaranya pengisian peserta bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kuala Perlis melibatkan 60 unit.
“Selain itu pembinaan Program Perumahan Rakyat di Padang Besar sebanyak 75 unit. Projek terbabit diluluskan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Pembinaan Residensi Awam Perlis secara Request for Proposal daripada pemaju swasta dicadang di Tok Kuning dan Padang Besar. Ia masih proses rundingan harga,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!