Islam mesti memimpin umatnya

- Advertisement -

SEJARAH telah membuktikan, sejak munculnya Islam sebagai agama rahmat ke seluruh alam, ianya telah memimpin dan membina tamadun dunia. Bagi meneruskan legasi perjuangan Rasulullah S.A.W, negara yang rakyatnya beragama Islam secara majoriti harus ditadbir urus oleh pemimpin Islam. Walaupun berbeza kaum dan juga bangsa, namun prasyaratnya adalah beragama Islam.

Islam tidak fanatik bahkan meraikan kepelbagaian agama, kaum dan juga bangsa. Kerjasama serta urusan hal ehwal lain dibolehkan, akan tetapi dalam memilih atau meletakkan pemimpin khususnya pemimpin utama negara mestilah dalam kalangan Muslim. 

Kejayaan demi kejayaan ditempa, sejak zaman Rasulullah S.A.W, para Sahabat seterusnya disambung oleh ulamak muktabar, tokoh-tokoh ilmuan juga negarawan yang berjasa membawa kegemilangan serta pembinaan tamadun yang berjaya.

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, lalu Kami timpakan mereka dengan seksaan disebabkan perbuatan yang telah mereka lakukan.”

(al-A‘raf: 96)

Sejak Malaysia merdeka, dapat dilihat bagaimana teguhnya kepimpinan negara yang ditadbir oleh Melayu Islam. Mereka mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, harmoni dan sejahtera. Justeru, bangsa Melayu yang menganut Islam itu wajib memimpin, memerintah dan mentadbir negara, termasuk rakyat bukan-Islam.

Di dalam Perlembagaan negara juga, telah termaktub bahawa Islam sebagai agama Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan. PAS sesekali tidak pernah ingin mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan yang sedia ada di Malaysia. Jadi, mana-mana pihak termasuk DAP jangan bertindak di luar batasan. Jangan mencabar keluhuran Perlembagaan negara serta umat Islam sendiri.

Sekali lagi ditegaskan, Islam mesti memimpin umatnya. Negara Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu Islam, mesti dipimpin oleh Perdana Menteri dari kalangan pemimpin yang beragama Islam. Rakyat Malaysia selamat dan sejahtera berada di bawah kepimpinan Melayu Islam, dan tidak ingin mempertaruh nasib kepada pihak yang jelas menolak dan memberi ancaman kepada Melayu Islam.

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 14/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!