KUALA LUMPUR: “Adakah pihak kerajaan sedar ramai rakyat yang tertekan dalam situasi ekonomi hari ini?”
Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Senator Datuk Dr. Arman Azha Abu Hanifah ketika membuat Perbahasan Rang Undang-Undang (2) 2023 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan kembali Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sememangnya hangat diperkatakan dalam kalangan rakyat biasa.
Menurutnya, cukai tersebut akan dinaikkan dari 6 peratus kepada 8 peratus yang menimbulkan satu persoalan sama ada terdapat kajian hasil yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam melakukan perkara sedemikian.
“Rata-rata rakyat beradaptasi dengan apa pun kenaikan harga cukai yang dikenakan oleh pihak Kementerian demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Namun, jangan lupa bahawa mereka juga menghadapi tekanan demi tekanan dari segi mental, emosi dan jiwa untuk mengemudi negara kita pada bila-bila masa yang akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menyampaikan keluhan demi keluhan yang dilalui oleh ramai rakyat termasuklah dalam kalangan T20 yang juga menghadapi pelbagai lagi cukai dalam menghadapi situasi ekonomi pada masa ini.
Tambah beliau, kenaikan cukai SST ke 8% ini telah menimbulkan kegusaran terhadap kalangan rakyat itu sendiri kerana mempunyai perbezaan yang ketara dengan GST.
“Melalui GST mereka mempunyai kuasa membeli lebih tinggi dalam memenuhi keperluan hidup tetapi tidak dinafikan bahawa cukai SST yang rakyat bayar akan tetap dikembalikan semula dalam bentuk kemudahan, fasiliti, bantuan bersasar yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa permintaan rakyat ialah hak kuasa beli yang lebih baik dalam pengurusan ekonomi dan perbelanjaan negara ini.
Kata beliau lagi, perkara tersebut amat penting bagi membantu rakyat menghadapi apa jua keadaan ekonomi yang berlaku.
“Bolehkah Kementerian memberikan justifikasi mengenai perkara ini kerana suara rakyat didengar oleh pihak rakyat dan perlu didengar dalam dewan yang mulia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023