Skrin besar beri peluang penyokong MU-Liverpool lepas ‘gian’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerjaaan negeri dengan kerjasama beberapa pihak akan menganjurkan tayangan skrin besar sempena perlawanan bola sepak antara Manchester United (MU) dan Liverpool pada 17 Disember ini.

- Advertisement -

Aksi Liga Inggeris 2023-2024 itu akan bermula jam 12.30 pagi (waktu tempatan) 18 Disember.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, tayangan skrin besar itu bagi memberi peluang kepada penyokong MU dan Liverpool menyaksikan perlawanan tersebut.

Katanya tayangan skrin gergasi terbabit akan diadakan di Mydin Mall Bandar Baharu Tunjong.

Kata beliau sempena program berkenaan turut dianjurkan aktiviti lain pada petang 17 Disember termasuk permainan karom, dart dan pelbagai acara menarik.

“Sebelah malam pula senamrobik, Kelantan Culture Night Run dan senaman tua. Pertandingan e-Sport pun ada,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Selain itu turut disediakan cabutan bertuah sebagai acara selingan di mana hadiah utama sebuah motosikal.

Oleh itu beliau berharap penyokong kedua-dua pasukan Inggeris tersebut memakai baju pasukan masing-masing bagi memeriahkan lagi suasana.

Perlawanan klasik MU dan Liverpool akan diadakan di Stadium Anfield.

Manchester United baharu sahaja tersingkir daripada Liga Champions 2023-2024 selepas tumbang kepada Bayern Munich pada perlawanan kumpulan A Liga Champions 2023-2024. – HARAKAHDAILY 13/12/2023