KUALA LUMPUR: “Rakyat Terengganu umpama peminta sedekah, meminta-minta atas hak kita sendiri, wang sudah ada tetapi kenapa dilewat-lewatkan?
“Apa motif sebenar kerajaan pusat dan kementerian kewangan?,” soal Senator Datuk Razali Idris.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kewangan dengan mengetengahkan isu royalti yang belum dilunaskan oleh kerajaan kepada Negeri Terengganu.
Mengulas lanjut beliau berkata, menjurus fasa 72 pindaan kepada akta petroleum (cukai pendapatan 1997) berkaitan perkongsian menjalankan operasi petroleum di bawah dua atau lebih perjanjian di kawasan bersempadanan.
“Saya nak tahu secara terperinci untuk negeri Terengganu sepertimana yang saya sebutkan, apakah ada perjanjian sepertimana dalam pindaan berkenaan?
“Saya juga nak tahu apa sebenarnya strategi kerajaan untuk memastikan pindaan akta ini kekal relevan terutama keperluan semasa industri huluan minyak dan gas yang berdepan cabaran baru dalam proses eksplorasi pembangunan, dan pengeluar sumber hidrokarbon ini,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan kelicikan kerajaan yang tidak menampakkan sifat negarawan dan federalisme sebenarnya.
“Apakah ia benar-benar memberikan manfaat kepada negeri dan negara secara lestari. Saya tidak berburuk sangka atau berpersepsi negatif kerana hal sedemikian adalah dicetus sendiri oleh kerajaan pada hari ini.
“Segala sumber alam di negeri-negeri kalau boleh seolah-olah nak dikaut dan dipunggah semua pulangan menerusi perjanjian antara pusat dan negeri kononnya atas semangat demi negara tetapi akhirnya negeri umpama peminta sedekah,” katanya.
Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu justeru meminta jasa baik menteri kewangan kedua yang baru dilantik semalam dan timbalan menteri kewangan supaya mempermudahkan proses royalti minyak Terengganu. – HARAKAHDAILY 13/12/2023