‘Kenapa tak jawab soalan mengenai Malaysia Airlines..?’

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenapa tidak jawab soalan mengenai Malaysia Airlines (Penerbangan Malaysia) menamatkan penerbangan ke Dubai tetapi memberikan perkongsian kod (code sharing) kepada syarikat penerbangan Emirates?”

Itu teguran yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar terhadap Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika soalan tersebut ditanya oleh Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

- Advertisement -

Menurut beliau, Malaysia Airlines pernah mempunyai penerbangan ke Dubai tetapi selepas itu membuat perundingan mengenai code sharing yang menimbulkan persoalan rakyat.

Kata beliau, tindakan tersebut bermakna syarikat penerbangan tempatan itu  tidak lagi membuat penerbangan terus ke negara tersebut.

“Ini yang membuatkan masyarakat di luar sana tertanya-tanya kenapa Malaysia Airlines  tamatkan landing rights (hak mendarat) ke sana dan beri kepada Emirates,” katanya ketika mencelah dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau juga meletakkan kesalahan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif MAS ketika itu kerana membuat tindakan tersebut, dan kemudian terus meletak jawatan dan berkhidmat dalam syarikat penerbangan Emirates yang sememangnya memerlukan penjelasan daripada Timbalan Menteri tersebut.

Walaupun tidak menafikan bahawa code sharing masih mempunyai sedikit keuntungan tetapi Wan Junaidi menegaskan bahawa fakta tetap tidak berubah bahawa Malaysia Airlines masih tidak ada penerbangan teris ke Dubai buat masa ini.

“Jadi, kita betul-betul memerlukan penjelasan mengenai perkara ini secara keseluruhan,” katanya.  HARAKAHDAILY 13/12/2023

- Advertisement -