BILA membaca idea Lim Kit Siang (LKS) yang sekali lagi dilontarkan setelah entah berapa kali, saya mula terfikir bahawa tindakan Lim Kit Siang bukanlah satu perkara tidak disengajakan. Tetapi memang itu visi besar dia yang wajib dijayakan.
Ironi sekali, LKS mengidamkan Malaysia melahirkan seorang ‘Malaysian’, dalam keadaan LKS dan seluruh pendukungnya sendiri tidak jelas pun apa sebenarnya makna menjadi seorang ‘Malaysian’ yang sebenar!
LKS sering membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang berjaya melahirkan seorang Presiden bukan kulit putih.
Masalah utama pada perbandingan ini sangat jelas. Identiti ‘American’ itu jelas dan seorang American akan menjaga kepentingan semua American.
Tetapi tidak ‘Malaysian’ yang Dicadangkan LKS. ‘Malaysian’ yang dicadangkan LKS penuh dengan nada berat sebelah dan dipandang penuh syak wasangka oleh orang Melayu dan Bumiputera khususnya.
Identiti seorang warganegara Amerika Syarikat begitu jelas. Berpandukan ‘national creed’ yang telah diletakkan oleh Bapa Pengasas Amerika. Bahasa mudahnya, Amerika Syarikat mengamalkan asimilasi dan seluruh manusia yang ingin menjadi warganegaranya berpegang erat dengan identiti asas Amerika. Etnik tunggal ‘American’ menyebabkan keutamaan sebagai ‘American’ sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Amerika menjadi keutamaan semua ‘American’.
Di situ dapat kita faham bahawa ‘American’ mempunyai satu payung besar yang menjadi rujukan mereka semua iaitu Perlembagaan mereka. Maka seorang ‘American’ akan meletakkan kepentingan ‘American’ yang lain pada kedudukan yang sama.
Tetapi di Malaysia, hal yang sama sukar berlaku. Malaysia mengamalkan integrasi kaum. Kaum yang pelbagai duduk sekali dalam sebuah negara namun tidak bercantum menjadi satu. Perkara ini tidak semestinya satu perkara yang buruk.
Daripada integrasi ini sepatutnya gagasan Bangsa Malaysia boleh diwujudkan jika sebuah elemen penyatu yang dapat mendefinisikan makna sebenar ‘Malaysian’ dapat disepakati bersama oleh semua kaum.
Di sinilah hadirnya peranan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuanlah yang menjadi alat untuk mendefinisikan ciri-ciri warganegara Malaysia atau bahasa mudahnya Bangsa Malaysia.
Kepentingan semua kaum, agama dan warna kulit sebenarnya telah disentuh dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagaimana pada awal-awal ia dibentuk, semangat dan roh asal Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati dan dikekalkan kerana Perlembagaan Persekutuanlah yang menjadi Kad Pengenalan kepada Malaysia.
Sebab itu, asas Perlembagaan Persekutuan perlu dikenalpasti dan disepakati bersama. Perkara ini diterjemahkan dalam bentuk Rukun Negara yang menjadi identiti nasional. Kelima-lima teras dalam Rukun Negara sudah cukup untuk menjamin keharmonian dan meleraikan segala persoalan. Antaranya termasuklah Keluhuran Perlembagaan.
Masalah di Malaysia adalah apabila terdapat segelintir besar kaum dan individu yang enggan mengiktiraf asas Perlembagaan Persekutuan sebagai satu fakta.
Apabila hal ini enggan diikuti, maka timbullah pelbagai tafsiran dan visi tersendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan. Punca kepada masalah ini sudah tentu pelbagai. Namun sistem pendidikan vernakular dan polisi kerajaan yang tidak tegas antara punca utama.
Ada yang bersungguh-sungguh memperjuangkan etnik tunggal ‘Malaysian’ dalam keadaan menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu dan Peribumi sebagai penduduk asal.
Kajian Nora’azian Nahar dan Fadzilah Abd Rahman dari Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap 414 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Kuantan mendapati 55.7 peratus murid-murid masih tidak fasih bahasa Melayu. Itu baru sebuah kajian di satu sekolah, bagaimana di tempat lain? Tidak perlu kita ulas lanjut kerana realitinya kita sendiri pernah rasai dan perhati.
Ironinya, tinjauan Pew Research Center pada 2023 menunjukkan 83 peratus warga Malaysia berpandangan antara elemen terpenting untuk berkongsi identiti kebangsaan adalah seseorang individu itu boleh bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.
Kita juga dapat lihat sendiri tindak tanduk Lim Kit Siang dan DAP. Dalam keadaan mereka menguar-uarkan idea etnik tunggal dan Perdana Menteri bukan Melayu, mereka gagal menunjukkan bahawa ‘Malaysian’ yang akan mereka idamkan mereka adalah ‘Malaysian’ yang sejati iaitu ‘Malaysian’ yang memahami semangat asas Perlembagaan Persekutuan dan roh penubuhan negara kita.
Jika Malaysian yang mereka idamkan adalah ‘Malaysian’ yang memegang prinsip sekularisme, enggan mengiktiraf Bahasa Kebangsaan serta sibuk bergaul dalam kaumnya sendiri sahaja, maka ‘Malaysian’ apakah sebegitu?
Sebab itu idea Perdana Menteri dari bukan-Melayu ini sebenarnya sebuah idea yang tidak adil kepada orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi penduduk asal bagi tanah ini.
Orang Melayu dan Bumiputera sebenarnya begitu fleksibel dalam aspek ini. Bukti dapat dilihat apabila orang Melayu tidak ada masalah mengundi pemimpin bukan-Melayu, asalkan pemimpin tersebut faham kedudukan orang Melayu dan roh Perlembagaan Persekutuan.
Isunya, berapa ramaikah pemimpin bukan-Melayu mengakui asas sebenar Perlembagaan Persekutuan?
Jika idea Perdana Menteri bukan-Melayu yang dicadangkan oleh Lim Kit Siang adalah dengan mengambil sampel penduduk pada saat ini, maka saya katakan tidak perlu dan buang ke laut sahaja cadangan itu.
Sebenarnya, kita sudah ada Perdana Menteri yang tidak berdarah asli Melayu dalam sejarah negara. Tun Mahathir Mohamad ialah seorang yang berdarah Mamak manakala Tun Hussein Onn datang dari jalur Arab.
Apakah persamaan mereka? Kedua-duanya beragama Islam dan mereka berasimilasi dengan bangsa Melayu. Mereka menjadi Melayu. Sesuai dengan populasi orang Melayu yang merupakan majoriti di negara ini. Kini demografi orang Melayu mencecah 54.1 peratus bersamaan 17 juta orang.
Sebab itu, bukan-Melayu pun boleh jadi Perdana Menteri, peluklah Islam dan asimilasi. Macam jiran kita di Indonesia.
Secara rangkumannya, kita kena akui Melayu dan Islam adalah teras pembentukan negara. Sebagaimana dinyatakan Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-215, iaitu Islam dan orang Melayu adalah asas utama pembentukan Malaysia.
Persoalannya, LKS dan DAP mahu akuikah perkara ini?
UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 13/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Idea Perdana Menteri dari bukan-Melayu, ia tidak adil
- Advertisement -