KUALA LUMPUR: Walaupun Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat, namun masyarakat masih lagi membahaskan isu ini.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian, sambil mengulas lanjut bahawa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga telah memberi ulasan kerana bimbang hasrat untuk melihat berakhirnya generasi perokok ini tidak dicapai.
“Bagaimana kerajaaan memastikan penguatkuasaan undang-undang tersebut dapat membendung peningkatan perokok dalam kalangan generasi muda kerana merokok dalam kalangan dewasa Malaysia kekal melebihi 21 peratus sejak berpuluh tahun dahulu,” soal Wan Martina.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Sehubungan itu Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni dalam jawapannya berkata, soalan yang dikemukakan oleh Wan Martina adalah soalan yang baik dan perlu dilihat dengan serius.
Katanya, bagi menjayakan kempen anti menolak penggunaan produk merokok memerlukan kerjasama bersama masyarakat, pemimpin dan juga kerajaan.
Beliau turut memohon khidmat dan nasihat daripada Tan Sri Yang Dipertua, Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memberi saranan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar tidak merokok di kawasan sekitar berdekatan sidang dewan.
“Saya sangat minta supaya perkara-perkara ini kita memberi contoh.. di mana kita adalah penggubal dasar.. jangan pula kita memberi satu contoh yang tidak baik kepada masyarakat kerana banyak ‘gambar-gambar, cerita-cerita’ bahawa masih ramai perokok-perokok di kedua-dua dewan (Dewan Negara dan Dewan Rakyat).
“Kita akan cuba untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain terutama sekali Kementerian Pendidikan untuk mengadakan literasi berkenaan tentang masalah dan juga masalah gejala merokok ini supaya kita dapat memulakan dari peringkat awal dan juga sehingga ke peringkat dewasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023